
Salim
Ibrahim
Lagu Saya Anak Malaysia pasti tidak asing dalam
kalangan masyarakat di negara ini, namun masih ramai yang tidak mengetahui
penyanyi utama lagu itu, Salim Ibrahim atau lebih dikenali sebagai dR Sam
Rasputin sudah pun tampil dengan imej berbeza.
Dahulu beliau lebih menggemari lagu berentak
reggae dan berpakaian dengan imej ala rasta, Bob Marley.
Namun tidak lama kemudiannya beliau nekad untuk
terus istiqamah demi mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.Kini Sam tampil
dengan imej seorang pendakwah dengan membawa mesej-mesej Islam dan keamanan
sejagat.
Menurutnya, dia mengakui masih giat mendalami
ilmu agama sehingga ke hari ini sekali gus menganggap ia sebagai penghijrahan
diri yang besar.
“Saya akui ketika berada dalam dunia hiburan,
apa yang saya lakukan begitu banyak bertentangan dengan kehendak ALLAH SWT dan
tidak takut melanggar larangan-Nya.
“Ia kerana pada masa itu tiada hidayah dan
hanya hiburan semata-mata yang menjadi mata pencarian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan
program perkongsian di Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), hadir
sama Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr Normala Abdul Wahid.
Sam terkenal pada era 1970-an hingga 1980-an,
dan lagu paling popularnya ialah ‘Saya Anak Malaysia’ turut dinyanyikan bersama
Band Rasputin dari Negeri Sembilan.
Ketika mengikuti pengajian di luar negara, Sam
telah merantau ke beberapa bandar utama termasuk London dan Paris untuk menjadi
penyanyi jalanan.
Kemudiannya dia dipertemukan dengan guru-guru
agama apabila sudah kembali ke tanah air selepas lima tahun mengembara di bumi
asing.
“Banyak ilmu yang diperoleh semasa proses
penghijrahan ini berlaku dan yang paling menyentuh perasaan ialah apabila diri
ini mula sedar dengan merasai keyakinan kepada ALLAH SWT.
“Percaya adanya ALLAH SWT tetapi ketika itu
hanya percaya tetapi belum kuat keyakinan yang bermaksud percaya itu di akal,”
katanya.
Tambahnya lagi, doa ibu antara kuasa yang tiada
tandingannya kerana di antara insan yang tidak berhenti berdoa demi
kesejahteraannya.
“Dalam melakukan penghijrahan, menuntut ilmu
adalah sangat penting untuk kita terus memperbaiki diri, semua perkara yang
dilakukan juga haruslah diniatkan hanya kerana ALLAH SWT.
“Kedua ialah bermujahadah atau
bersungguh-sungguh dalam berhijrah, tetapi kita juga perlu sentiasa berdoa
kerana orang yang tidak berdoa adalah orang yang sombong dengan ALLAH SWT,”
katanya.
0 Response to "Dulu Saya Main Langgar Saja"
Post a Comment