Edra Milik China


China General Nuclear Power Corporation (CGN Group) kini memiliki 100 peratus aset tenaga Edra Global Energy Berhad, anak syarikat milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM9.83 bilion.

CGN Group menandatangani Perjanjian Pembelian dan Penjualan Saham (SSPA) dengan 1MDB bagi mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam Edra Solar Sdn. Bhd., Edra Energy Sdn. Bhd., Powertek Energy Sdn. Bhd., Jimah Teknik Sdn. Bhd., Jimah O&M Sdn. Bhd., Mastika Lagenda Sdn. Bhd., dan Tiara Tanah Sdn. Bhd.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, CGN Group adalah pemenang yang jelas terhadap tender antarabangsa ini, terma komersial boleh diterima dan kepastian pelaksanaan transaksi.

Katanya, pembelian oleh CGN Group membawa komitmen pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara dan mencerminkan keyakinan mereka terhadap ekonomi Malaysia.

“1MDB berterima kasih kepada pekerja dan ahli lembaga Edra atas sumbangan mereka kepada syarikat dan komitmen semasa proses penjualan,” katanya dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Tawaran indikatif bagi syarikat-syarikat operasi Edra pertama kali diterima pada Jun 2015 menerusi proses tender antarabangsa yang kompetitif dijalankan oleh penasihat kewangan 1MDB, Maybank Investment Bank Berhad.

Suruhanjaya Tenaga sebelum ini memberi kebenaran khas untuk membenarkan Edra dilupuskan sehingga 100 peratus ekuitinya kepada pelabur asing tetapi dibantah oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

CGN Group akan membayar secara tunai nilai ekuiti sebanyak RM9.83 bilion dan mengambil alih semua hutang berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015. Transaksi itu dijangka selesai pada Februari 2016.

Sementara itu, Presiden & Pengarah Eksekutif Edra, Datuk Mark Ling berkata, Edra berjaya diintegrasikan daripada 13 loji kuasa ke satu platform padu dan kukuh yang mengamalkan standard tertinggi antarabangsa.

Beliau amat berbangga dengan nilai yang diwujudkan dalam aset syarikat yang telah diiktiraf oleh CGN Group, pengendali utama antarabangsa dengan operasi global yang signifikan.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah CGN Group, He Yu berkata, pelaburan itu merupakan komitmen utama jangka panjang kumpulan dan inisiatif kepelbagaian global.


“Kami begitu kagum dengan rangka kerja pengeluar tenaga bebas (IPP) di Malaysia yang sangat dikawal selia, stabil dan telus justeru memberikan keyakinan kepada syarikat untuk melabur di negara ini,” tambahnya.

Related Posts :

0 Response to "Edra Milik China"

Post a Comment