
“Saya tegaskan sekali lagi saya bukan isteri
Awie. Saya tidak mahu dikaitkan sebagai isteri dia dalam apa juga kenyataan
melibatkan isu kami kerana kami telah bercerai secara fasakh di Thailand pada 1
Disember tahun lalu,” tegas Rozana Misbun.
Rozana juga menegaskan, statusnya sebagai bekas
isteri penyanyi rock itu telah diketahui oleh banyak pihak namun dia masih
dirujuk sebagai isteri penyanyi itu kerana tiada pengesahan dibuat oleh Awie
mengenai status perkahwinan mereka di negara ini.
“Buat sekian kalinya saya tegaskan saya bukan
lagi isteri dia (Awie), saya hendak jelaskan hal ini dan dia boleh nikah lain,’’
katanya kepada pemberita di lobi kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini
hari ini.
Teka-teki mengenai status perkahwinan Rozana,
37, dengan Awie juga terjawab apabila dia turut menunjukkan surat pengesahan
perceraian secara fasakh yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla,
Thailand pada 1 Disember 2014.
Surat itu ditandatangani dan mempunyai cop
pengesahan Timbalan Yang Dipertua majlis tersebut dan turut disahkan
penerimaannya oleh Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla.
Berdasarkan surat tersebut, permohonan cerai
secara fasakh yang dibuat Rozana dibenarkan majlis itu bagi mengelak kemudaratan
besar kepada wanita berkenaan dengan mengambil kira surat perintah perlindungan
yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kepada Rozana.
Surat itu turut menyebut pernikahan antara
Rozana dan Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, mengikut surat
nikah yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla itu pada 20 Jun 2005
difasakh oleh majlis berkenaan demi menahan kemudaratan terhadap Rozana.
Dalam permohonan perceraian itu, Rozana turut
melampirkan gambar-gambar kecederaan dialaminya yang didakwa dipukul oleh Awie
dan kes itu kini di peringkat perbicaraan di Mahkamah Majistret Ampang dekat
sini.
Rozana juga berkata, keengganan Awie untuk
mendaftar pernikahan mereka itu telah menimbulkan pelbagai kesulitan terutama
melibatkan kebajikan anak-anak mereka.
Walau bagaimanapun dia nekad untuk memfailkan
permohonan nafkah bagi anak-anaknya sejajar syariat Islam berikutan tindakan
Awie yang tidak membayar sebarang nafkah terhadap dua anaknya sejak mereka
diserahkan kepadanya pada Februari lalu.
Jelas wanita itu, Awie tidak perlu
mempertikaikan kemampuannya untuk menjaga anak-anak mereka sebaliknya
menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara tersebut.
“Kalau dia tak nak bagi (nafkah anak) saya
reda, tetapi dia jawablah di akhirat nanti,” tegas Rozana.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah
di sini memerintahkan hak penjagaan sementara tiga anak pasangan itu iaitu Putra
Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, diserahkan
kepada Rozana sementara menunggu perintah kekal hak penjagaan dikeluarkan
mahkamah.
Walau bagaimanapun Putra Ahmad Merrah kini
masih di bawah jagaan Awie.
Sementara itu, Rozana hadir di mahkamah hari
ini bagi mendengar sebutan kes tuntutan nafkah sementara bagi Putra Ahmad
Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha di hadapan Pendaftar Mahkamah Syariah, Nor Faiz
Afsal Abu Bakar.
0 Response to "Jangan Kaitkan Saya Dengan Awie"
Post a Comment