
SHAH ALAM – Ahli
Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa seorang timbalan menteri di jabatan
perdana menteri ‘kantoi’ apabila mengesahkan Felda bertanggungjawab
menyelaraskan program Himpunan Warga Felda pada 16 September lalu, iaitu hari
yang sama berlakunya perhimpunan Baju Merah di ibu negara.
Beliau berkata,
berdasarkan jawapan kepada Parlimen baru-baru ini, keseluruhan peserta warga
Felda yang menyertai program tersebut dianggarkan seramai 10,000 orang meliputi
10 wilayah Felda seluruh negara kecuali Sabah.
“Umum mengetahui 16
September 2015 adalah merupakan Himpunan Baju Merah. Adakah Himpunan Warga Felda
sengaja dianjurkan pada hari yang sama untuk ramaikan Himpunan Baju
Merah?
“Ini bermakna satu
wilayah menghantar 1,000 orang dan ini juga menunjukkan bahawa seramai 10,000
orang warga Felda telah menyertai Himpunan Baju Merah baru-baru ini,” katanya
dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dalam jawapan bertulis
kepada Parlimen memaklumkan Felda telah menyelaraskan satu program komuniti
Felda iaitu Himpunan Warga Felda bersempena sambutan hari Malaysia pada 16
September 2015, bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur.
Menurut jawapannya,
program tersebut telah disertai oleh semua NGO di dalam Felda termasuklah Ahli
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia Felda
Malaysia (MBFM), dan Kami Anak Felda (KAF).
Mengulas lanjut, Nie
Ching selaku Penolong Setiausaha Publisiti DAP juga kesal apabila Felda terpaksa
menanggung kos sehingga RM925,000 untuk menganjurkan program tersebut, sedangkan
ia sepatutnya digunakan untuk kepentingan awam dan bukannya untuk kepentingan
politik pihak tertentu.
“Berdasarkan jawapan
yang diberikan, tujuan himpunan tersebut adalah untuk melahirkan rasa cinta dan
bersyukur atas nikmat yang diterima warga peneroka seiring dengan pembangunan
negara.
“Apa yang disyukurkan
oleh warga Felda seiring dengan pembangunan negara sebenarnya? Apa yang kita
lihat, sebanyak 99.9 peratus daripada 94,219 warga Felda telah membeli 800 saham
Felda Global Venture Holdings (FGVH) dengan harga RM4.45 seunit pada 2012 dan
kini tinggal RM1.93 seunit saja,” soalnya.
Katanya lagi, warga
Felda sepatutnya menganjur satu protes terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun
Razak kerana mengakibatkan warga Felda kerugian sebanyak RM197
juta.
“Warga Felda perlu sedar
dan marah akan pengurangan serta kejatuhan harga saham yang amat teruk ini,
bukannya bersyukur,” katanya lagi.
SUMBER
SINARHARIAN
0 Response to "Menteri 'Kantoi' Taja Himpunan Baju Merah?"
Post a Comment