Pasangan kembar siam yang berjaya dipisahkan 13
tahun lalu kini berazam menyambung pengajian dalam jurusan teknologi maklumat
(IT) selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun
ini.
Muhammad Rosli, 17, yang dipanggil Angah
berkata, dia berminat mendalami ilmu berkaitan komputer terutama selepas
menyedari keperluan industri kini yang serba canggih.
“Angah minat dengan dunia IT dan Angah nak
sambung belajar jurusan IT jika ada rezeki dan berjaya dalam SPM.
“Sesuai dengan dunia sekarang, semua melibatkan
teknologi IT yang melengkapi setiap sistem,” katanya kepada Utusan Malaysia
selepas selesai menjawab kertas Bahasa Melayu, di sini hari ini.
Pasangan itu menjawab kertas Bahasa Melayu di
dalam kelas khas yang menempatkan hanya mereka berdua dengan masa tambahan satu
jam kerana dikategorikan sebagai calon orang kurang upaya (OKU).
Berkongsi minat yang sama, pasangannya, Ahmad
Rosli, 17, berkata, dia juga meminati jurusan berkaitan komputer walaupun dalam
masa sama turut meminati dunia seni.
“Kami mengambil sembilan subjek dan semuanya
saya rasa sesuai untuk memohon jurusan IT pada masa akan datang,” katanya.
Mereka yang bersekolah di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) USJ 23 itu berada di dalam Kelas 5 Theta iaitu kelas sains
tulen.
Sementara itu, bapa mereka, Rosli Abdul Rahim
berkata, beliau sentiasa menyokong minat pasangan kembar itu dan menggalakkan
mereka untuk terus menuntut ilmu.
0 Response to "Pasangan Kembar Tetap Bersemangat Untuk SPM"
Post a Comment