MUAR 17 Nov. – “Saya terkejut dan sebak lihat lehernya ada kesan jerut. Saya difahamkan semasa ditemukan, arwah dalam keadaan tidak terurus dan lebam di beberapa bahagian badannya dipercayai dipukul”.
Demikian
reaksi suami seorang kerani sekolah agama yang menjadi mangsa rompak dan bunuh
di Taman Setia Kasih, Sungai Terap, di sini semalam.
Faris
Jaafar yang bertugas di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu
Tiram, Johor Bahru yakin isterinya cuba mempertahankan diri dan melawan
penyerangnya ketika kejadian itu.
JENAZAH kerani sekolah agama yang mati dibunuh dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir dan Naib Kadir di Bukit Pasir, Muar, Johor, semalam. |
Dia
yang berusia dalam lingkungan 30-an dimaklumkan mengenai kejadian malang itu
lewat petang semalam dan terus bergegas pulang ke rumah.
Bagaimanapun,
hatinya luluh apabila diberitahu mayat isterinya dibawa ke Hospital Pakar
Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.
“Ketika
melihat mayat isteri buat kali pertama, saya sebak melihat keadaannya. Saya
tidak sangka arwah diperlakukan dengan begitu kejam,” katanya ketika ditemui di
rumah mayat HPSF, di sini hari ini.
Dalam
kejadian pukul 6 petang semalam, mangsa ditemukan maut oleh jirannya dengan
leher dijerut menggunakan tali pengikat langsir selain pintu kereta dan pintu
rumah terbuka.
Faris
berkata, kali terakhir dia berjumpa isterinya kelmarin dan mereka sempat
bersarapan sebelum dia pulang ke Pulada untuk meneruskan tugas seperti
biasa.
Sementara
itu, abang sulung mangsa, Mohd. Adzrul Jaafar, 31, yang menetap di Taman Maluri,
Ulu Tiram memberitahu, dia mengetahui kejadian tersebut pada pukul 6.50 petang
semalam sebelum bergegas ke sini bersama-sama ibunya.
“Setahu saya, arwah tidak
mempunyai musuh. Saya memang terkejut dengan kejadian ini dan kami sekeluarga
tiba di Muar pukul 12 malam tadi tetapi tidak dibenarkan masuk ke rumah kerana
siasatan sedang dijalankan,” katanya - Utusan Online
0 Response to "Sebak lihat keadaan mayat isteri"
Post a Comment