Jika sebelum ini masalah
yang melanda perkahwinan antara Siti Nordiana Alias atau mesra dengan panggilan
Nana bersama suaminya, aktor Mohd Faizal Yusup, menjadi tanda tanya, namun Nana
yang ditemui pada majlis anjuran Noraniza Idris Production (NIP) dan Fantasia
Music City (FMC) di Hotel De Palma, Ampang, menceritakan segalanya kerana ingin
semua pihak jelas dengan masalah ini.
Nana, 25, yang kelihatan
tenang ketika ditemuramah para wartawan menjelaskan bahawa tindakannya
memfailkan penceraian terhadap Faizal, 31, kerana sudah tiada lagi persefahaman
antara mereka dan Faizal telah bertindak melafazkan cerai kepadanya sebanyak dua
kali dalam bulan yang sama.
"Nana masih belum lagi
failkan permohonan (cerai) tersebut, ikutkan dalam minggu ini tetapi sekarang
Nana agak sibuk jadi mungkin dalam minggu depan Nana akan failkan di mahkamah
Seremban.
"Nana tak boleh nak
tunggu lagi kerana dia dah lafazkan cerai pada Nana dengan talak dua dan pihak
mahkamah juga nasihatkan Nana untuk failkan dengan kadar yang
segera.
"Sebenarnya dia dah
lafaz ceraikan Nana sebanyak dua kali dalam bulan yang sama iaitu bulan Ogos
yang lalu, kali pertama tu dia ceraikan Nana dengan talak satu, tetapi kami
rujuk kembali secara bersendirian dan pada hujung Ogos dia lafazkan lagi sekali
dengan talak dua.
"Jadi Nana rasa dah tak
boleh nak tangguh lagi dan memang Nana dah nekad untuk berpisah dengan dia,"
jelas Nana yang telah banyak melakukan solat hajat dan mendapat petunjuk bahawa
berpisah adalah jalan penyelesaian yang sesuai.
Ditanya apakah punca
sebenar keretakan rumah tangganya bersama Faizal, Nana hanya mengatakan mereka
sudah tidak sependapat dan tidak mahu mendedahkan punca lain kerana perkara ini
masih belum mendapat pengesahan dari pihak mahkamah.
"Puncanya hanya kami
sudah tiada persefahaman, kami sudah berbeza dari segi pendapat itu sahaja...
punca yang lain Nana tak boleh nak dedahkan lagi buat waktu ini.
"Ikutkan dia dah
ceraikan Nana dengan talak tiga, tapi lafaz dia pada kali pertama tu masih tidak
dapat dipastikan lagi sah atau tidak.
"Dari awal perkahwinan
lagi kami sudah selalu berselisih pendapat, tetapi kami sentiasa cuba untuk
menyelamatkan perkahwinan kami, cuma kali ini Nana rasa dah tak boleh nak
diselamatkan lagi...
"Pintu hati Nana juga
buat masa ini sudah tertutup untuk bersama dia semula dan memang Nana dah nekad
untuk berpisah," ujar Nana yang turut memberitahu dia diceraikan hanya melalui
panggilan telefon yang dibuat oleh Faizal.
Menurut artis yang
berasal dari Negeri Sembilan ini juga, perkahwinannya bersama Faizal bukanlah
satu kesilapan yang dilakukan sebaliknya Nana menganggap semua ini sebagai satu
pengajaran dalam meneruskan hidup.
"Bagi Nana perkahwinan
ini bukan satu kesilapan, sebaliknya satu pengajaran buat Nana untuk meneruskan
hidup selepas ini.
"Faizal bukanlah seorang
lelaki yang jahat, dia pun banyak mengajar Nana erti kehidupan dan menjadi
seorang yang kuat.
"Walau apa yang terjadi
selepas ini, dia masih lagi merupakan kawan Nana dan Nana dah bersedia untuk
teruskan hidup tanpa seorang suami.
"Nana kira bernasib baik
kerana perkara ini berlaku semasa Nana masih muda, sekurang-kurangnya Nana masih
mampu untuk bekerja lagi untuk membela nasib Nana dan anak kami, Muhammad Rayyan
Nakhaie," kata Nana yang sudah lebih tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama
Faizal.
Kini Nana hanya menunggu
detik untuk memfailkan permohonan cerainya dan akan buat penampilan semula dalam
industri hiburan setelah semua masalahnya dapat diselesaikan kelak. - SUMBER
MSTAR

0 Response to "Siti Nordiana Mengaku Sudah Diceraikan Dengan Talak Dua"
Post a Comment