
Cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan supaya merancang
perjalanan dengan bangun lebih awal untuk menangani isu peningkatan harga tol
nyata mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang ramai.
Baru-baru ini, Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO
Wangsa Maju, Shahbudin Husin mengritik kenyataan Abdul Rahman yang dianggap
sebagai satu penghinaan kepada rakyat.
Menerusi laman blog beliau,
shahbudindotcom.blogspot.com, Shahbudin berkata cadangan Rahman keluar awal
hanya menunjukkan pemikiran menteri yang tidak matang.
“Kalau beginilah cara berfikir dan melayan
rungutan rakyat oleh seorang menteri yang bertaraf Pengarah Komunikasi Strategik
BN, lebih baiklah dilantik budak-budak lalok yang jaga parking di sekitar Chow
Kit sebagai anggota kabinet," kata Shahbudin dalam entri terbaharu di laman
blognya.
Menurut Shahbudin, pada hakikatnya ramai warga
kota yang keluar rumah sebaik saja selepas subuh semata-mata untuk mengelakkan
kesesakan jalan raya.
Tetapi mereka seringkali terperangkap dengan
urusan lain seperti menghantar isteri ke pejabat dan anak-anak ke sekolah.
“Adakah menteri berkenaan mahu warga kota
keluar ke tempat kerja seawal pukul 3 atau 4 pagi setiap hari?” soal Bekas Naib
Ketua Pemuda UMNO Wangsa Waju itu.
Malah, Shahbudin turut mempersoal kenyataan
Abdul Rahman yang menyatakan kerajaan menyediakan jalan alternatif kepada
pengguna jalan raya yang tidak mahu menggunakan tol.
“Adakah semua jalan bertol mempunyai jalan
alternatifnya?
“Dari pusat bandar Kuala Lumpur ke Putrajaya
misalnya, mana jalan alternatif tanpa tolnya?,” soalnya lagi.
Sementara itu, netizen turut utarakan beberapa
cadangan bernas berkenaan caj tol berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.
Antara saranan yang popular adalah diskaun tol
untuk pengguna yang menggunakan lebuh raya sebelum jam 6 pagi.
Dalam satu sidang media pada Selasa, Rahman
Dahlan yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
berkata penggunaan jalan alternatif adalah satu cara untuk mengelak daripada
membayar tol. Namun pengguna jalan raya perlu bangun awal kerana penggunaan
jalan alternatif kebiasaannya akan membuatkan masa perjalanan ke destinasi lebih
panjang.
0 Response to "Taraf Menteri Macam Budak Lalok"
Post a Comment