Bangkok: Seorang wanita ‘hidup semula’ dan
menyerah diri kepada polis semalam bagi berdepan hukuman mati selepas didapati
bersalah membunuh bakal menantunya sendiri.
Juree Jan-ngam, 72, menyerah diri selepas cuba
menipu kematiannya bagi mengelak dikenakan hukuman kerana membunuh seorang ahli
farmasi, Riewprae Chotikarn.
Riewprae, 26, yang hamil tiga bulan ditembak
mati di kliniknya di daerah Khuan Niang, Songkhla pada 13 Disember 2007, 16 hari
sebelum mangsa dijadual melangsungkan perkahwinan dengan anak lelaki Juree,
Wikrom.
Serangan itu turut menyebabkan seorang pembantu
klinik maut akibat terkena peluru sesat.
Ahli perniagaan kaya itu merancang membunuh
Riewprae kerana tidak bersetuju dengan perkahwinan berkenaan.
Sebelum perbicaraan bermula, Juree dilapor
pernah menawar 2 juta baht (RM244,226) kepada keluarga Riewprae supaya kes
berkenaan ditarik.
Juree dituduh mengupah seorang lelaki, Narin
Janchay, 36, untuk membunuh bakal menantunya itu.
Kedua-dua mereka kemudian didapati bersalah
membunuh wanita itu dan dihukum mati oleh mahkamah.
Juree yang dalam proses rayuan dibenarkan ikat
jamin sebanyak 5 juta baht (RM610,565) tetapi terus menghilangkan diri selepas
dibebaskan.
Pada Februari tahun lalu, anak perempuan Juree,
Rassamee memohon mahkamah mengembalikan wang jaminan ibunya dengan alasan wanita
itu sudah meninggal dunia.
Rassamee turut mengemukakan sijil kematian dan
mendakwa mayat wanita itu sudah dibakar.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Juree
dilihat berada di Hat Yai menyebabkan polis melancarkan operasi memburu wanita
itu semula.
0 Response to "Tipu Mati Elak Dihukum"
Post a Comment