Dengan menyamar seorang ustaz berkelulusan
tahfiz al-Quran, Mohd Razis Ismail atau lebih dikenali 'Ustaz Kasanova'
dipercayai menipu lebih 13 wanita menerusi pernikahan sindiket dan berpoligami
tanpa kebenaran mahkamah, kini diburu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(Jawi).
Pengarah Jawi Paimuzi Yahya berkata Mahkamah
Syariah Kuala Lumpur pada 25 Oktokber lepas mengeluarkan waran tangkap ke atas
lelaki itu yang gagal hadir bagi menyambung proses jaminannya di Bahagian
Penguatkuasaan jabatan itu.
"Kesalahan yang dilakukannya ialah berkahwin
tanpa prosedur yang ditetapkan sama ada dari segi undang-undang dan juga hukum
syarak.
"Kebanyakan perkahwinan dan perceraian lelaki
ini adalah tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia sehingga berlaku
penganiayaan dan pengabaian terhadap isteri-isteri dan anak-anak suspek,"
katanya pada sidang berita di sini hari ini.
Beliau berkata modus operandi yang dilakukannya
ialah membuat penampilan dan perwatakan sebagai seorang ustaz yang mahir ilmu
al-Quran bagi mengaburi mangsa dan anggota keluarga mangsa.
"Suspek juga mendakwa masih bujang dan
menggunakan gelaran Ustaz Arrozi Abdul Rahman dan Ibnu Ar Razi," katanya.
Paimuzi berkata pihaknya menyeru orang ramai
agar tidak mudah terpedaya dengan perwatakan ustaz yang ditonjolkan suspek yang
mangsanya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi yang mempunyai
ciri-ciri wanita solehah dan wanita berstatus janda yang mempunyai pendapatan
tinggi.
Katanya seorang daripada isteri suspek dijatuhi
hukuman penjara tiga bulan dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Syariah di sini
pada 8 Sept lalu selepas mengaku bersalah melakukan persetubuhan luar nikah
daripada tahun 2012 hingga 2015 dan mempunyai dua orang anak hasil hubungan
tidak sah bersama suspek.
Suspek sepatutnya hadir di mahkamah sama pada
tarikh itu, tetapi gagal menghadirkan diri.
Beliau berkata daripada 13 orang isteri
tertuduh yang dikesan oleh pihak Jawi hanya lima yang memberi kerjasama dengan
pihak Jawi bagi membantu siasatan.
Paimuzi berkata orang ramai yang mempunyai
maklumat mengenai tertuduh boleh menghubungi pegawai penyiasat Jawi, Farah
Wahida Zulkiflee di talian 011-32961821 atau talian bebas tol Penguatkuasaan
JAWI 1-800-88-1771.
0 Response to "Ustaz Kasanova Tawar Poligami"
Post a Comment