Badrul Muhayat Kongsi Kisah Disebalik Gambar Jadi Bilal Tersebar

PETALING JAYA: Pelakon era 90an, Badrul Muhayat menjelaskan gambarnya menjadi bilal yang tersebar di laman sosial bukan sesuatu yang pelik atau dikaitkan dia sudah menjadi orang alim.

Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahamd Jailani, 47, berkata, ia merupakan aktiviti biasa yang dilalui oleh setiap umat Islam yang menunaikan ibadah di surau-surau di kawasan kediaman mereka.

“Gambar tersebut merupakan gambar biasa dan bukan menampakkan perkara pelik pun bagi umat Islam. Biasalah jadi part time bilal, siapa-siapa yang sembahyang di surau kalau tiada orang azan… kita azanlah.

“Namun bukanlah saya sekarang sudah berubah dan mendalami agama atau sebagainya, cuma bagi saya perkara itu merupakan perkara asas dalam kehidupan kita umat Islam,” ujarnya kepada mStar Online.

Badrul berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gambar-gambar terbaharunya yang tersebar di Internet kononnya dia sudah berubah menjadi bilal.

Jelas Badrul, dia bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, malah tidak sekali untuk menggambarkan kehidupannya kini lebih baik berbanding semasa aktif sebagai pelakon dahulu.“Tentang ibadah seseorang, ia adalah sensitif dan tidak perlu pun nak beritahu sedalam mana kita mendalami agama. Cuma pengguna laman sosial kini suka beri komen dan mengkritik apa juga yang kita lakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang kehidupannya kini, Badrul yang lima tahun menyepikan diri daripada industri hiburan bakal muncul dengan drama terbaharu arahan Ahmad Idham berjudul Merried Tapi Benci.Badrul berkata, dia mendapat tawaran tersebut selepas bertemu dengan pengarah berkenaan di Johor Baru baru-baru ini.

“Saya memang berhasrat untuk aktif semula berlakon dan ketika berjumpa dengan Ahmad Idham baru-baru ini, dia tawarkan watak bapa kepada saya.“Selama lima tahun ini memang ada juga tawaran tetapi saya terpaksa tolak kerana susah ulang alik Johor Baru ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya adakah masa lima tahun hilang disebabkan dia melarikan diri daripada kontroversi yang pernah menghimpit dirinya, Badrul berkata, dia menggunakan tempoh masa tersebut menumpukan perhatian dalam menguruskan bisnes makanan keluarganya di Johor Baru.

“Lima tahun ini saya menyepi bukan sebab mahu melarikan diri daripada kontroversi rumah tangga, perkara itu kita tidak boleh lari sebab kemana pun lari orang tetap kenal dan tahu.
“Sebenarnya saya sibuk dengan bisnes keluarga saya di Johor dan saya juga bakal keluar dengan air minuman jenama saya sendiri tidak lama lagi,” ujarnya.

Badrul pernah terkait dengan kontroversi memukul isteri dan kisah perceraiannya pada tahun 2010 yang mendapat liputan meluas.-mStar

0 Response to "Badrul Muhayat Kongsi Kisah Disebalik Gambar Jadi Bilal Tersebar"

Post a Comment