Minum jus betik, hirup sup
ketam dan mengambil minuman isotonik adalah mitos semata-mata malah tidak
membantu mengubati demam denggi.
Pegawai Perubatan Kanan
Perubatan Am Hospital Seri Manjung Dr Hafizah Mohamed Haniba berkata, setakat
ini tiada kajian saintifik yang membuktikan demam denggi mampu disembuhkan
menerusi tiga amalan itu.
Beliau berkata, salah
faham itu disebabkan maklumat yang disampaikan adalah dari mulut ke mulut sejak
dulu sehingga dianggap berkesan dalam merawat penyakit berkenaan.
Katanya, daripada sudut
perawatan moden, belum ada kaedah dan rawatan khusus untuk penyakit
itu.
Apa saja yang berkaitan
dengan herba tradisional dan sup ketam adalah lebih kepada petua orang lama dan
boleh dikategorikan sebagai rawatan sampingan, bukan rawatan
sebenar.
Sebenarnya, perlu ada
kajian menyeluruh yang membabitkan sejumlah pesakit untuk memastikan kesahihan
sesuatu herba dalam rawatan penyakit denggi, katanya ketika dihubungi di sini,
semalam.
Akhbar semalam melaporkan
Ahli Farmasi dan Homeopati Prof Dr A Krishnan berkata, daun betik bukan penawar
demam denggi malah boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang
sekali gus membawa maut kepada individu yang mengamalkan pemakanan daun
itu.
Dr Krishnan mendakwa, daun
betik tidak mempunyai khasiat selain berbahaya kepada kesihatan kerana
kandungannya mempunyai cyanide yang berperanan seperti racun.
Selain itu, Dr Krishnan
juga mendakwa, sistem imunisasi individu boleh terganggu sekiranya ia
diamalkan.
Dr Hafizah berkata, bagi
memastikan penyakit dapat diubati dengan cepat dan berkesan, pesakit sepatutnya
minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter atau lapan gelas
sehari.
Menurutnya, kebiasaannya
pesakit denggi kurang selera makan dan mengalami perubahan pada salur darah
sekali gus menyebabkan badan kekurangan air.
Cukup sekadar air kosong
saja untuk dijadikan alternatif rawatan penyakit denggi tidak berdarah, bukan
air isotonik kerana kandungan paras gulanya yang tinggi.
Bayangkan jika pesakit itu
menghidap diabetes, pasti ia memberi kesan terhadap paras gula dalam badan
mereka, katanya.
Sehubungan itu, Dr Hafizah
berkata, persepsi masyarakat terhadap amalan itu perlu diperbetulkan, selain
menasihatkan individu yang disyaki menghidap denggi supaya mendapatkan rawatan
di hospital terlebih dulu.
Sementara itu, Ketua
Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daun betik bukan
penawar atau boleh mengubati denggi.
Kajian yang dijalankan
hanya menunjukkan ia (daun betik) membantu meningkatkan sel platelet,
katanya.
0 Response to "FAKTA JUS BETIK, SUP KETAM DAN 100 PLUS TIDAK MEMBANTU UBATI DENGGI"
Post a Comment