PUTRAJAYA – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
yang mula dilaksanakan pada April tahun lepas, dari segi makronya merupakan
penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhannya, kata Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata
pelaksanaan GST telah mendapat kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion dengan
unjuran kutipan bersih RM27.126 bilion pada Disember 2015.
Kutipan bersih GST itu dianggarkan meningkat kepada
RM39 bilion pada tahun ini, katanya pada perhimpunan khas Kementerian Kewangan
di sini hari Jumaat.
“Pelaksanaan GST dari segi aspek makro menampung
hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum. Maka, tidaklah salah
kalau saya menyatakan bahawa dari segi makro, GST merupakan penyelamat kepada
keadaan kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhan,” katanya.
Najib berkata harga minyak juga dijangka kekal
rendah pada tahun ini dengan penyusutan pendapatan kerajaan dianggarkan lebih
RM30 bilion.
Beliau berkata kalau harga minyak kekal pada paras
US$32.35 atau US$36 setong, penyusutannya adalah lebih RM30 bilion.
“Bagi US$1 jatuh dari paras yang sebelumnya bererti
bahawa kita berkurangan RM300 juta dari segi hasil kerajaan,”
katanya.
“Inilah keadaan yang kita berdepan dan kalau tiada
GST, maka defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1
peratus pada tahun ini,” katanya.
Dengannya ada hasil tersebut, Najib berkata
kerajaan dapat melaksanakan projek-projek pembangunan seperti jalan raya,
hospital, sekolah, memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya kepada
rakyat.
Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos
sara hidup yang melampau, beliau berkata kerajaan meneruskan program BR1M yang
memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dengan peruntukan
RM5.9 bilion.-Bernama
0 Response to "GST SELAMATKAN EKONOMI NEGARA - NAJIB"
Post a Comment