![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9yj2bpQV_Ka3vd5hF9dFbi0roHJMjKAj4QxcwOv1AijVlxa0GcMuEJyQVuetOU_nOuh4N1GQBalTIQYO0BrcMet6mETUU04IT-DUnl_xkxl09vSDVhFuYyjkTFTALgR_bV5T6B3brjgym/s640/image.jpg)
“Lunaskan hutang terlebih dahulu.” Demikian
tegas Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Tunku
Ismail Sultan Ibrahim pada ketika semakin banyak pihak korporat ingin
menjalinkan kerjasama selaku penaja, sekali gus mampu memantapkan kedudukan
kewangan pasukan.
Jelasnya, kehadiran ramai hartawan dan jutawan
yang ingin memberi tajaan kepada pasukan atau kelab akhir-akhir ini merupakan
petanda positif kepada arena bola sepak tempatan.
Bagaimanapun Tunku Ismail berharap agar pihak
pengurusan pasukan berkenaan tidak melupakan keutamaan dalam menyelesaikan
pembayaran gaji tertunggak pemain.
“Saya sebagai Penaung PFAM tahu berapa ramai
pemain dan dari pasukan mana yang masih belum dibayar gaji. Usahlah terlalu
mengejar trofi semata-mata sehingga melupakan perkara yang lebih penting.
“Pemain-pemain dan jurulatih bola sepak
mempunyai keluarga untuk disara. Mereka ini manusia, bukan ternakan. Utamakan
dahulu nasib mereka daripada terlalu sibuk dengan trofi yang hendak diraih,”
katanya menerusi laman sosial Facebook JOHOR Southern Tigers.
Selasa lalu, PFAM mengemukakan beberapa
cadangan kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mahupun
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membantu ke arah penyelesaian tunggakan
gaji para pemain daripada berulang.
Antara cadangan PFAM seperti pemotongan geran
kepada pasukan, pemotongan hadiah kemenangan atau juga pemotongan wang penyiaran
dan potongan tersebut diserahkan terus kepada para pemain.
Sementara itu, mengulas berhubung perkembangan
cadangan untuk memperkenalkan peraturan baharu dalam kontrak pemain kepada FMLLP
itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, sehingga kini perkara
tersebut masih dipandang sepi.
“Sebelum ini sudah beberapa kali kami
mengadakan mesyuarat dengan FMLLP untuk bincang mengenai kontrak pemain dan
masalah ini. Namun setakat ini, belum lagi (terima maklum balas daripada
mereka),” katanya.
Antara cadangan lain PFAM seperti
memperkenalkan sistem kawalan kewangan yang lebih berdisiplin dan rasional
dengan menggalakkan pasukan untuk beroperasi berdasarkan kapasiti kewangan
mereka.
Malah, PFAM turut menggalakkan pasukan untuk
membuat pelaburan jangka panjang bagi menjamin keupayaan kewangan yang
stabil.
Di samping itu, PFAM mendesak FMLLP agar
memastikan pasukan melunaskan tanggungjawab mereka seperti menyelesaikan kesemua
tunggakan gaji pemain sebelum bermula musim baharu. Kegagalan berbuat demikian
akan menyebabkan pasukan berkenaan tidak boleh menyertai saingan
seterusnya.
Selain itu, katanya, sebuah badan perlu
ditubuhkan untuk mengawal selia kewangan dan pengurusan gaji pasukan-pasukan
agar tidak menganiaya pemain.
“PFAM mencadangkan agar setiap pasukan
dikenakan syarat yang mana jumlah perbelanjaan gaji mestilah tidak lebih 60
peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pasukan.
“Turut dicadangkan, agar setiap pasukan wajib
mempunyai jaminan bank sebelum boleh didaftarkan dalam saingan liga agar pemain
masih dibayar gaji sekiranya pasukan mempunyai masalah kewangan,” katanya.
(Jumlah kes adalah dari penghujung 2014 hingga
kini. Terdapat kes yang tidak dilaporkan kepada PFAM menyebabkan tindakan tidak
boleh dilakukan).
0 Response to "Hutang...Jangan Buat Bodoh"
Post a Comment