Padah reka cerita diculik, gadis didakwa



KLANG - Remaja perempuan yang mereka cerita diculik  baru - baru ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang dan mengaku bersalah terhadap tuduhan memberi maklumat palsu. 
Dia yang berusia 15 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Nor Asma Ahmad sebentar tadi. 
Gadis itu bersalah dengan sengaja telah menggunakan keterangan bahawa diculik sebagai keterangan benar adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Bandar Sultan Suleiman, Klang jam 9.12 pagi pada 29 Disember lalu. 
Nor Asma menetapkan 14 Januari depan untuk fakta dan perintah. 
Sementara itu, seorang pekerja penyembur nyamuk sambilan mengaku tidak bersalah merogol gadis berkenaan. 

Dia yang berusia 16 tahun itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun enam bulan di sebuah rumah di Bandar Suleiman pada sekitar Disember 2014. 
Selain itu, remaja lelaki, Gan Chin Teck,19,  mengaku tidak bersalah atas tuduhan melarikan remaja bawah umur tanpa keizinan penjaga yang sah. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Sultan Suleiman, dekat sini pada 27 Disember lalu. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Farid Syed Ali mengikut Seksyen 196 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 serta Seksyen 361 kanun sama. 
Sebelum ini, kehilangan gadis itu menjadi viral di media sosial selepas rakaman perbualan telefon bersama kakak angkatnya tersebar. 

Pada peringkat awal, remaja itu masih boleh dihubungi menerusi telefon bimbit yang memaklumkan bahawa dia keluar untuk berjumpa rakannya, sebelum dimaklumkan beliau dilarikan dua lelaki tidak dikenali semasa dalam perjalanan ke rumah. 

Dia juga memberitahu dirinya dibawa ke sebuah gudang dengan menaiki sebuah van warna putih.
Dia kemudiannya ditemui selamat oleh sepasukan polis di hadapan sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, Banting, dekat sini. 


Sumber: sinarharian

0 Response to "Padah reka cerita diculik, gadis didakwa"

Post a Comment