Pelajar sekolah agama terlampau...

Beberapa remaja disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah yang ditahan AADK dalam operasi di tiga kampung di Jeli pada Rabu
JELI - Dua pelajar sekolah agama, di sini, antara tujuh orang ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Jeli, Rabu lalu.

Ketua Pegawai AADK Jeli, Norhayati Mahiddin berkata, dua pelajar terbabit masih bersekolah dalam tingkatan empat di sebuah sekolah agama di Batu Melintang, dekat sini.

Menurutnya, dua pelajar dan lima lelaki itu ditahan dalam operasi selama lapan jam dari 8 malam hingga 4 pagi dengan kerjasama Unit Anti Sempadan (UAS) Bukit Bunga.


“Mereka yang ditahan berumur 14 hingga 22 tahun dan positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda) hasil ujian awal saringan air kencing,” katanya kepada Sinar Harian.

Norhayati memberitahu, operasi yang dijalankan hasil risikan Unit Risikan AADK Jeli selama seminggu itu melibatkan Kampung Gunung, Satan dan Batu Melintang.

“Seramai lima orang ditahan di Kampung Batu Melintang, manakala dua lagi masing-masing seorang ditahan di Kampung Gunung dan Kampung Satan.

“Mereka dibawa ke pejabat AADK Jeli untuk siasatan dan ujian air kencing sebelum dibebaskan selepas dijamin keluarga masing-masing,” katanya.

Norhayati berkata, operasi itu adalah yang pertama dijalankan AADK Jeli untuk tahun ini dan akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan lain sekitar daerah ini.

“Operasi seperti ini akan dijalankan secara berterusan dalam usaha kami untuk membendung aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Saya juga berharap, ibu bapa dapat memantau pergerakan anak supaya tidak mudah terpengaruh atau terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah,” katanya.
 

0 Response to "Pelajar sekolah agama terlampau..."

Post a Comment