Perkosa rakan sekerja di rumah jagaan orang tua

Tertuduh (depan, kiri) ketika diiringi polis keluar dari mahkamah, semalam.
SEREMBAN - Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan lima sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol rakan sekerjanya dan mencuri barang milik mangsa di sebuah Pusat Jagaan Orang Tua, tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Kamarudin Kamsun terhadap S.R Dinesh Kumar, 33, seorang warga India selepas mengambil kira rayuan tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan.

Menurutnya, mahkamah mengambil berat kes membabitkan rakan sekerja dan berharap ia dapat memberi pengajaran terhadap tertuduh dan orang lain.

“Walaupun tertuduh bukan warganegara, tapi undang-undang negara ini perlu dipatuhi,” katanya.

Hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 27 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Dinesh Kumar didapati merogol rakan sekerjanya, seorang wanita warga Pakistan berusia 26 tahun di tempatnya bekerja iaitu di sebuah Pusat Jagaan Orang Tua di Taman Murugesu di sini, pada 27 Jun lalu, kira-kira 12.30 malam.

Kesalahan itu dituduh di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang mensabitkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda kerana telah mencuri harta mangsa iaitu wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh dengan mengambil kira trauma dihadapi mangsa.

“Tertuduh telah pun berumah tangga, tak sepatutnya melakukan perkara begini kepada rakannya sendiri yang mencari rezeki bersama.

“Saya mohon mahkamah pertimbangkan kepentingan awam melebihi peribadi. Lagipun kes ini membazir masa, tenaga dan kerja mahkamah,” katanya yang turut meminta mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
 

0 Response to "Perkosa rakan sekerja di rumah jagaan orang tua"

Post a Comment