Beaufort: Kewujudan
tompokan lumpur panas di Jalan Beaufort-Menumbuk kononnya disebabkan aliran wap
gunung berapi bawah tanah yang viral di laman sosial adalah tidak
benar.
Pengarah Jabatan Mineral
dan Geosains negeri Mustafar Hamzah berkata, kejadian berlaku kerana tindak
balas semula jadi dan bukannya disebabkan gunung berapi. “Ini
hanya pembentukan lumpur biasa yang terjadi akibat air hujan yang menyerap masuk
ke dalam tanah melalui retakan atau rekahan di permukaan bumi.
“Air hujan melarutkan
batuan di dalam bumi sehingga membentuk lumpur berasid dan membebaskan gas,”
katanya ketika dihubungi, semalam. Mustafar
berkata, akibat pembebasan gas terlalu banyak, air bawah tanah akan tertolak ke
permukaan tanah dan membentuk buih seakan-akan sedang menggelegak seperti kawah
gunung berapi.
“Pada musim hujan, lumpur
akan lebih cair atau likat selain membentuk lebih banyak buih disebabkan tindak
balas kimia.
“Malah, lumpur yang
menggelegak ini akan mengeras dan pekat sekiranya tiada hujan dalam tempoh
lama,” katanya. Menurutnya,
pemeriksaan pihaknya mendapati lumpur berkenaan tidak berbahaya kepada orang
ramai. “Berdasarkan
rekod, hanya Tawau dan Lahad Datu yang mempunyai sejarah pembentukan gunung
berapi satu ketika dulu.
“Namun, tiada sebarang
sejarah pembentukan gunung berapi di pantai barat negeri ini termasuk Beaufort
dan Menumbuk, sekali gus dakwaan segelintir pihak berhubung lumpur gunung berapi
terbentuk adalah tidak benar,” katanya. Katanya,
lumpur yang terhasil di kawasan itu hampir sama dengan pembentukan lumpur di
Pulau Tiga, Beaufort dan Ladang Binuang, Kunak, akibat larutan batuan dan tindak
balas kimia.
Bagaimanapun, Mustafar
berkata, pihaknya sudah mengarahkan pegawainya ke lokasi kejadian untuk
mengambil sampel lumpur bagi membolehkan ujian makmal dilakukan secara
terperinci. Sebelum
ini, beberapa foto berkaitan pembentukan lumpur didakwa daripada aktiviti gunung
berapi di Kampung Bangau, Jalan Beaufort-Menumbuk mendapat reaksi orang ramai
selepas disebarkan melalui laman Facebook (FB).
Harianmetro
0 Response to "Puncak Lumpur Disebabkan Tolakan Gas, Bukan Wap Gunung Berapi"
Post a Comment