Dibelasah, dirakam gambar bogel dek janda gila seks

Gambar hiasan
Bahau: Lelaki berusia 48 tahun bukan saja dibelasah hingga patah kaki kanan malah dibogelkan sebelum gambarnya dirakam oleh lima lelaki yang diupah kekasihnya selepas tidak puas hati ditegur supaya tidak membawa lelaki lain ke rumah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, kekasih mangsa yang juga janda beranak sembilan menghubungi mangsa supaya berjumpanya di sebuah stesen minyak di Mahsan, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak menunggang motosikal berjumpa kekasihnya berusia 33 tahun sebelum mereka menunggang motosikal itu bersama-sama ke pekan.

"Mangsa menyedari diekori kereta yang dinaiki lima lelaki sebelum motosikalnya dihalang kereta berkenaan berhampiran Rumah Rakyat Mahsan.

"Mangsa terkejut apabila kekasihnya bersama lima lelaki itu bertindak membelasah dan memijak kakinya. Mangsa kemudian dibawa menaiki kereta ke taman rekreasi sebelum dibogelkan dan dirakam menggunakan telefon bimbit oleh suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa mendakwa diugut menyerahkan wang tunai RM5,000 sekiranya tidak mahu mereka membuat laporan polis kononnya mangsa mencabul kekasihnya itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM770 dan kad ATM.

Katanya, selepas kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Jempol dan membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dekat sini, kira-kira 9 malam tadi.

0 Response to "Dibelasah, dirakam gambar bogel dek janda gila seks"

Post a Comment