
Tuntutan saman yang difailkan oleh penulis
novel Aku Bohsia atas dakwaan karyanya diciplak oleh pelakon dan pengarah,
Syamsul Yusof serta bapanya, Datuk Yusof Haslam menjadi penyebab Elias Idris
diperintah membayar ganti rugi RM100,000 setelah dia pula didapati memfitnah dua
beranak itu dan syarikat Skop Production Sdn. Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datin Azizah
Nawawi memutuskan demikian hari ini setelah membenarkan tuntutan balas Syamsul,
bapanya dan syarikat mereka apabila mendapati dakwaan Elias telah menjatuhkan
integriti, reputasi dan kejujuran mereka sebagai orang yang dikenali dalam
industri perfileman Melayu.
Mahkamah turut memerintahkan Elias membayar kos
RM40,000 kepada kedua-dua beranak itu dan syarikat mereka.
Hakim Azizah dalam keputusannya berpendapat,
anggapan bahawa kata-kata itu berbaur fitnah terhadap mereka kerana Elias selaku
pihak plaintif mendakwa, filem itu telah disalin 80 peratus daripada
novelnya.
Ini menggambarkan, Syamsul, bapanya dan Skop
Production yang dinamakan sebagai pihak defendan tidak mempunyai integriti atau
berperilaku hina apabila dikatakan menyalin novel pihak plaintif lalu dijadikan
filem mereka.
Persoalan sama ada perkataan berbaur fitnah
tersebut merujuk kepada pihak defendan, Hakim Azizah menegaskan, beliau
mendapati kedua-dua artikel itu merujuk kepada filem berkaitan ‘Bohsia’ dan
dalam industri perfileman Melayu pula merujuk kepada pihak defendan sebagai
pengarah, produser dan pengedar filem tersebut.
Pihak plaintif dalam keterangannya semasa
disoal balas mengatakan, bohsia adalah merujuk kepada gadis bawah umur 20 tahun
bergaul bebas serta turut dikaitkan dengan mat rempit yang terlibat dalam lumba
motor yang rendah moral, terlibat dalam najis dadah.
Kedua-duanya (bohsia dan mat rempit) mempunyai
masalah yang sama iaitu masalah sosial, nilai-nilai moral yang longgar, terbabit
dalam dadah serta minuman keras dan keterangan tersebut sama dengan keterangan
pihak defendan.
“Saya berpendapat yang dianggap bahawa bukti ke
atas pihak plaintif dan defendan untuk me-nunjukkan bahawa bohsia dan mat rempit
adalah maklumat biasa dalam masyarakat kita yang tidak boleh membentuk asas
perbandingan antara novel dan filem.
“Saya juga bersetuju dengan defendan bahawa
idea-idea mengenai bohsia tidak dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan
tiada sebarang pelanggaran yang sama. Ia adalah isu-isu umum dalam masyarakat
kita yang tidak boleh dikatakan eksklusif hanya untuk novel plaintif,” ujar
hakim itu.
Katanya, apa yang ada untuk dijadikan
perbandingan adalah persamaan dalam kes rogol anak oleh bapa, hubungan anak
perempuan dengan ibu, tempat bohsia dan mat rempit berkumpul.
Bagaimanapun ujar hakim itu, beliau berpendapat
apa yang dianggap oleh mereka sendiri, tidaklah boleh dikatakan sebagai
persamaan besar yang menjurus ke akar umbi novel dan filem tersebut.
Hakim Azizah berkata, beliau mendapati pihak
plaintif gagal membuktikan yang pihak defendan telah menciplak novelnya dalam
pembikinan filem tersebut dan menolak saman pihak plaintif dengan kos.
Sementara itu, Yusof yang hadir bersama Syamsul
ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, me-lahirkan rasa bersyukur atas
keputusan tersebut kerana tohmahan bahawa pihaknya ‘mencuri’ sebanyak 85 peratus
idea penulis novel terbabit telah selesai.
“Kebenaran telah terbukti akhir-nya bahawa
dakwaan tersebut tidak benar. Ia adalah tohmahan semata-mata. Saya telah
berpengalaman selama 31 tahun manakala Syamsul pula selama 12 tahun,” ujar
Yusof.
Syamsul pula berkata, keputusan itu telah
membersihkan namanya dan Skop Production.
0 Response to "Penulis 'Aku Bohsia' Tersalah Saman"
Post a Comment