Zika: WHO Isytihar Darurat Kesihatan


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan ‘darurat kesihatan global’ berikutan peningkatan jumlah kelahiran bayi cacat di Amerika Selatan dipercayai berpunca daripada virus Zika.

Ketua WHO, Margaret Chan berkata, peningkatan kes penyakit microcephaly yang menyebabkan bayi lahir dengan kepala dan otak kecil kemungkinan disebabkan virus Zika bawaan nyamuk, sekali gus mencetuskan ‘kebimbangan antarabangsa’.

WHO kini menerima tekanan supaya bertindak pantas bagi menangani penyebaran virus Zika, setelah mengakui lambat bertindak menangani wabak Ebola yang melanda beberapa negara di Afrika barat.
Wabak Ebola telah mengorbankan lebih 11,000 nyawa di Afrika barat sejak 2013, namun darurat kesihatan di seluruh dunia hanya diisytiharkan pada Ogos 2014.

Menurut Chan, mesyuarat pakar-pakar kesihatan, yang mengambil keputusan mewujudkan jawatankuasa darurat pertubuhan itu, mengesahkan bahawa hubungan antara jangkitan virus Zika semasa kehamilan dan microcephaly adalah kuat, walaupun tiada bukti saintifik.

‘Kelompok microcephaly dan komplikasi saraf membentuk kejadian luar biasa dan menjadi ancaman kesihatan kepada penduduk di beberapa bahagian di dunia,” katanya.

Pada minggu lalu, WHO memberi amaran ‘ledakan penyebaran’ virus bawaan nyamuk itu di benua Amerika dengan menyaksikan peningkatan sejumlah empat juta kes Zika dikesan sehingga tahun ini.

Brazil merupakan negara pertama melahirkan kebimbangan berhubung krisis itu pada Oktober lalu dengan memberi amaran kewujudan kes virus berkenaan di bahagian timur laut negara itu.

Negara itu adalah yang paling teruk terjejas dengan 4,000 kes disyaki microcephaly iaitu 270 kes telah disahkan, peningkatan daripada 147 kes pada 2014.

Menurut WHO, French Polynesia turut mencatat peningkatan kes microcephaly sejak wabak itu tersebar dua tahun lalu, manakala Colombia, Ecuador, El Salvador, Jamaica dan Puerto Rico telah mengeluarkan amaran kepada golongan wanita untuk melewatkan kehamilan sehingga wabak berkenaan berjaya dikawal.

Colombia yang mencatat sejumlah 20,000 jangkitan microcephaly melibatkan seramai 2,100 wanita hamil turut memberi amaran berhubung jangkaan ‘ledakan’ kes sindrom Guillain-Barre yang menyerang sistem saraf.


Menurut Menteri Kesihatan Colombia, Alejandro Gaviria melalui radio Colombia, dianggarkan setiap 2.3 kes sindrom Guillain-Barre berlaku bagi setiap 1,000 pesakit yang menghidap virus Zika.

0 Response to "Zika: WHO Isytihar Darurat Kesihatan"

Post a Comment