Gempar! Bapa Hanya Tahu Anak Baru 5 Bulan Meninggal Di Pusat Asuhan Melalui Facebook

Putrajaya: Seorang bapa bukan saja sedih meratapi kematian bayinya yang baru berusia lima bulan dipercayai akibat tersedak susu, malah lebih memilukan kerana nasib malang menimpa anak tersayang hanya diketahuinya menerusi Facebook.

Ismail Ramli, 28, berkata beliau mendapat tahu kejadian itu selepas membaca Facebooknya lalu terus menghubungi pemilik pusat asuhan yang menjaga anaknya, Muhammad Danish Raykal di Presint 9, tetapi tidak mendapat jawapan memuaskan.






“Saya kesal perkara sebesar ini hanya diberitahu melalui Facebook, malah ketika ditanya hal berkenaan, dia (pemilik pusat asuhan) hanya jawab ‘tak tahu’ dan sekadar meminta saya segera ke bilik kecemasan Hospital Putrajaya.


Tubuh anak kebiruan


“Saya bergegas dari tempat kerja di Cheras dan sebaik tiba di hospital, lihat isteri sudah ada di situ. Kami masuk ke bilik kecemasan dan melihat tubuh Danish Raykal kebiruan. Saya dimaklumkan sebelum kami tiba, doktor sudah mencuba sedaya upaya memberikan bantuan kecemasan hampir setengah jam, tetapi tidak berhasil,” katanya.

Ismail yang ditemui pemberita di rumahnya di Presint 9, berkata beliau sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung kejadian menimpa anaknya itu yang disahkan meninggal dunia kira kira jam 3.30 petang di Hospital Putrajaya.


Pusat asuhan minta maaf 


Sementara itu, ibu bayi malang berkenaan, Zurinawati Ismail, 26, berkata ketika menghantar mangsa bersama kakaknya, Nur Damyya Zulaikha yang berusia dua tahun lapan bulan ke pusat berkenaan, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Dia seperti biasa, cuma malam sebelumnya, dia batuk tetapi tak teruk. Saya juga hanya tahu perkara ini melalui mesej di Facebook. Pemilik pusat asuhan ada meminta maaf dan mendakwa cuba menghubungi saya serta suami banyak kali, tetapi kononnya kami tidak menjawab panggilan.

“Apa yang menghairankan, saya langsung tak dapat panggilan berkenaan atau ada apa-apa mesej di telefon menyatakan ada menerima panggilan daripada pemilik pusat asuhan terbabit,” katanya. -BH

0 Response to "Gempar! Bapa Hanya Tahu Anak Baru 5 Bulan Meninggal Di Pusat Asuhan Melalui Facebook"

Post a Comment