KUALA PILAH - Cuti 2,000 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kecuali pegawai penguatkuasa berbangsa Cina di seluruh negara dibekukan mulai semalam hingga 25 Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata langkah itu bagi membolehkan KPDNKK membuat penguatkuasaan secara komited ke atas Skim Kawalan Harga pada perayaan Tahun Baru Cina sepanjang 12 hari pelaksanaan skim berkenaan.
Kita komited dalam perkara ini dan mengambil tindakan kepada peniaga yang engkar dan tidak mematuhi peraturan yang telah dipersetujui di bawah skim tersebut.
Saya hendak mereka (pegawai penguatkuasa) tumpukan gerakan untuk memastikan penguatkuasaan Skim Kawalan Harga beroleh kejayaan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan program Inisiatif Transformasi Usahawan Seed Parlimen Kuala Pilah anjuran Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (Seed) Jabatan Perdana Menteri.
Skim Kawalan Harga yang berlangsung selama 12 hari itu, memberi jaminan harga 12 barang kawalan tidak akan dijual melebihi harga siling ditetapkan.
Barangan ini ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar, perut babi dan daging babi.
Hasan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah berkata selain pegawai penguatkuasa KPDNKK, pihaknya juga bersetuju agar pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pegawai penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara untuk bersama-sama menyertai operasi pemantauan dalam tempoh itu.
Katanya semua penguatkuasa akan digerakkan dalam operasi pemantauan berterusan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menjual pada harga lebih tinggi daripada sepatutnya.
Selain penguatkuasa, kita juga meminta semua sukarelawan termasuk pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan maklumat jika mengesan kegiatan peniaga yang melanggar harga kawalan, katanya.- BERNAMA
0 Response to "Cuti 2000 Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Dibekukan"
Post a Comment