Penduduk Malaysia Belanja RM874b Beli Telefon Pintar Pada Tahun 2014


KUALA LUMPUR Minat berterusan pengguna Malaysia terhadap telefon pintar meningkatkan jualan tahunan peranti untuk mencapai rekod jualan tertinggi baharu pada 2014, sebanyak 8.5 juta unit. 

Sejajar dengan peningkatan permintaan, pasaran telefon pintar mengekalkan pertumbuhan positif bagi tahun ke-10 berturut-turut sejak peranti itu diperkenalkan di negara ini pada 2004.

Berdasarkan audit runcit GfK, pengguna-pengguna Malaysia sudah membelanjakan kira-kira AS$2.66 bilion (RM8.74 bilion) untuk peranti popular berkenaan dari bulan Januari hingga Disember tahun lalu.

Walaupun jumlah jualan meningkat, jumlah dibelanjakan pengguna menurun empat peratus berbanding 2013 akibat penurunan harga telefon pintar di negara ini.

Pengarah Urusan GfK di Malaysia, Selinna Chin, berkata sepanjang tahun 2014, kemasukan pesaing baru yang kuat di pasaran telefon pintar menawarkan lebih pilihan pada harga lebih berpatutan kepada para pengguna.

Permintaan mencapai puncak tertinggi pada bulan Disember yang mana jumlah jualan bulan itu hampir 769,000 unit, iaitu 106,000 unit lebih daripada bulan dengan jualan terendah, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasaran di seluruh negara menunjukkan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2014 dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan menyumbang 46 peratus daripada jumlah jualan negara.
Mengikut GfK, kenaikan jualan tertinggi disumbangkan oleh segmen telefon pintar berharga antara AS$150 hingga AS$200 (RM541-RM722).

Berbanding tahun 2013, sumbangan segmen berkenaan meningkat daripada 10 peratus bahagian pasaran kepada 16 peratus pada tahun 2014, menjadikannya segmen terbesar dalam pasaran tempatan.

Permintaan untuk telefon pintar berharga kurang dari AS$200 (RM722) akan berterusan pada tahun 2015, didorongi aneka pilihan jenama yang sedia ada, kemajuan dalam spesifikasi teknikal, pemasaran agresif, serta penurunan harga.

Faktor utama berkenaan akan menggalakkan pengguna untuk menggantikan telefon pintar mereka.
Sementara itu, dalam kaji selidik GfK di seluruh negara, hampir separuh daripada responden menyatakan harga adalah faktor penentu terutama dalam pemilihan telefon pintar.

Kenyataan ini juga disokong oleh trend menaik dalam jualan telefon pintar dari segmen harga rendah hingga pertengahan segmen yang dikuasai oleh pengeluar China.

Akibatnya, harga purata telefon bimbit menurun daripada AS$351 (RM1,106) pada tahun 2013 kepada AS$315 (RM1,031) pada 2014.

Dalam tahun 2014, audit runcit GfK menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus dalam permintaan telefon pintar dengan saiz skrin besar antara 4.1 inci hingga kurang 7-inci berbanding tahun 2013.

Laporan terkini juga menunjukkan penembusan telefon pintar Android berterusan yang membawa sumbangan sistem operasi Android daripada 85 peratus pada tahun 2013 kepada lebih dari 90 peratus pada tahun 2014.

Sembilan dalam sepuluh unit telefon pintar yang dijual di Malaysia menggunakan sistem operasi Android dan ini tidak menghairankan kerana 40 dalam 59 jenama telefon pintar menggunakan sistem Android, kata Chin.

Infrastruktur rangkaian LTE negara yang semakin maju juga merangsang pertumbuhan telefon pintar dilengkapi teknologi LTE. Jualan segmen ini naik hampir dua kali ganda pada tahun 2014 berbanding tahun 2013.

Pada tahun 2013, hanya 17 peratus daripada telefon pintar yang dijual dilengkapi fungsi LTE dan jualan kini telah melonjak kepada hampir 29 peratus dengan tiga dalam setiap 10 unit yang dijual dilengkapi fungsi LTE.

GFK adalah agensi penyelidikan yang beribu pejabat di Jerman. – Berita Harian

0 Response to "Penduduk Malaysia Belanja RM874b Beli Telefon Pintar Pada Tahun 2014"

Post a Comment