ANKARA – Turki membina sebuah makam baharu untuk Suleyman Shah selepas kejayaan misi memindahkan jenazah pemimpin Islam itu dari makam sebelumnya yang terletak 37 kilometer di dalam wilayah Syria.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan beberapa pegawai lain mengumumkan makam baharu tersebut berada sekitar 200 meter dari sempadan Turki, menurut satu kenyataan kelmarin.
Lokasi baharu itu juga terletak dalam wilayah Syria yang dikawal puak Kurdis dan dapat dilihat dengan jelas dari sempadan Turki.
Sebelum ini, Perdana Menteri Ahmet Davutoglu berulang kali menegaskan bahawa Turki akan membalas sebarang serangan ke atas makam tersebut.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, tanah seluas 100,000 meter persegi di Syria yang menempatkan makam Suleyman Shah adalah milik Turki sejajar dengan persetujuan antarabangsa sebelum ini.
Kenyataan sama memberitahu, kedua-dua tapak makam lama dan baharu itu tetap milik Turki.
Makam Suleyman Shah yang terletak di Syria dianggap kawasan berdaulat oleh Ankara seperti yang dipersetujui dalam perjanjian tahun 1921, protokol 1956 dan persetujuan 2003.
Makam tersebut dibina semula berhampiran sempadan Turki manakala jenazah Suleyman Shah pula dibawa ke Turki.
Terdahulu, seorang pegawai Kementerian Luar Turki berkata, pemindahan makam itu perlu dilakukan berikutan pertempuran sengit antara kumpulan militan Islamic State (IS) dan pejuang Kurdis di kawasan berkenaan.
“Terdapat risiko besar askar-askar kami akan terperangkap dalam pertempuran antara pejuang Kurdis dan militan IS,” katanya.
Davutoglu pula menyatakan dalam satu sidang akhbar kelmarin bahawa hampir 600 askar termasuk komando pasukan khas menyertai misi tersebut pada malam Sabtu lalu.
Turki memaklumkan kepada Syria berhubung operasi pemindahan itu tetapi meneruskan misi tersebut tanpa menunggu untuk kebenaran Damsyik.
Suleyman Shah merupakan datuk kepada pengasas empayar Uthmaniyah, Sultan Osman
0 Response to "Turki Bina Semula Makam Datuk Khalifah Uthmaniyah"
Post a Comment