Isu kenaikan gaji untuk pekerja Indonesia merupakan antara isu yang akan dibangkitkan sewaktu pertemuan wakil kedua-dua negara di Kuala Lumpur, bulan depan, bagi membincangkan isu berkaitan penghantaran tenaga kerja Indonesia ke Malaysia.
Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhammad Hanif Dhakiri berkata perbincangan di Kuala Lumpur itu akan mencari penyelesaian bagi proses penempatan pekerja yang masuk secara sah di Malaysia.
"Pada asasnya kita hanya mahu menghantar pekerja yang sah dan Malaysia juga hanya mahu menerima pekerja yang sah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.
Dalam pertemuan dengan Ahmad Zahid itu, beliau turut menyatakan tentang beberapa isu pelaksanaan seperti pasport untuk dipegang oleh pekerja, satu hari cuti dalam seminggu dan cara pembayaran gaji yang lebih mudah.
"Kami ada berbincang berkenaan beberapa masalah. Ada juga beberapa isu remeh di Malaysia yang dibangkitkan pekerja Indonesia di sana seperti masalah pemeriksaan kesihatan, visa dan soal keselamatan," katanya.
Beliau berkata perbincangan dua hala melibatkan tenaga kerja Indonesia di Malaysia berjalan dengan baik bermula dengan pertemuan Presiden Joko Widodo dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lepas disusuli dengan mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama, Mei lepas.
Ahmad Zahid pada sidang media selepas pertemuan itu berkata sistem tunggal pendaftaran pekerja asing iaitu secara dalam talian akan mula dilaksanakan bulan depan.
"Sudah ada perbincangan untuk pendaftaran pekerja Indonesia melalui hanya satu saluran. Apa yang penting adanya penempatan pekerja secara jelas dan sah, dan bukan menyebabkan keadaan semakin rumit," kata Muhammad Hanif.
Muhammad Hanif berkata proses penempatan pekerja Indonesia di Malaysia memerlukan penyelarasan yang baik antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.
Beliau juga berharap supaya kos penghantaran pekerja ke Malaysia ditanggung sepenuhnya oleh majikan dan tidak dibebankan kepada pekerja.
sumber asal
0 Response to "Hanif Dhakiri - Indonesia Mahu Kenaikan Gaji Bagi Pekerja Yang Dihantar Ke Malaysia"
Post a Comment