Shahrizal Jaszle Perlu Beri Keterangan Bersumpah Untuk Bela Diri




PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini pada Selesa memerintahkan pelakon Shahrizal Jaszle membela diri atas tuduhan melakukan khalwat dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 23, pada 16 Mei 2013.

Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya elemen kes yang boleh disabitkan kesalahan terhadap tertuduh.

Sehubungan itu, Abd Halim memerintahkan Shahrizal atau sebelum ini dikenali dengan nama Shahz Jaszle membela diri sama ada secara memberi keterangan bersumpah, keterangan tidak bersumpah atau berdiam diri.

Shahrizal yang hadir ke mahkamah kelihatan tenang ketika keputusan itu dibacakan.

Pelakon itu diwakili peguam syarie, Asyraf A. Ranee dan Muhammad Hafiz Ab Rashid manakala pendakwaan dilakukan pendakwa syarie, Fairus Jaafar.

Dalam pada itu, Abd Halim ketika membaca keputusan itu menjelaskan pertikaian pihak pembelaan berhubung dua saksi memberi keterangan bercanggah berhubung waktu pasangan itu ditangkap tidak wajar diterima memandangkan ia boleh dipinda pendakwa atau mahkamah.

Abd Halim dalam keputusannya turut memerintahkan masa tertuduh ditangkap dipinda antara 3.50 pagi hingga 4.20 pagi di dalam kertas pertuduhan.

Tambahnya, pihak mahkamah turut mendapati tidak terdapat elemen tangkapan itu dirancang atau perangkap sebagaimana dihujah oleh pihak peguam bela.

Kes berkenaan disambung pada 8 Disember depan.

Dalam kejadian 16 Mei 2013, Shahrizal dan pasangannya Farah Nurizzati telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang dekat sini kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Bagaimanapun, pada sebutan kes pada 13 November 2013, Farah Nurizzati telah mengaku salah terhadap tuduhan tersebut dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000.

Sementara itu, peguam bela Shahrizal, Muhammad Hafiz memberitahu pemberita, pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu pilihan yang diberikan pihak mahkamah sebelum membuat sebarang keputusan.

Shahrizal bagaimanapun enggan mengulas mengenai kes berkenaan dan menyerahkan kepada peguamnya.

0 Response to "Shahrizal Jaszle Perlu Beri Keterangan Bersumpah Untuk Bela Diri"

Post a Comment