Apabila menatap gambar-gambar ibu bersalin, menerawang fikiran aku teringatkan kembali detik-detik isteri aku ingin melahirkan zuriat pertamaku ke dunia. Ketika diberitahu isteriku dimasukkan ke dalam hospital pada jam 1 pagi aku masih dibuai mimpi di rumah sewa berhampiran universiti. Keletihan akibat kuliah penuh sepanjang hari sebelumnya. Sebelum tidur, aku sempat berbalas-balas SMS dengan isteriku bertanyakan keadaannya ketika itu. Katanya, dia tidak makan sejak petang lagi. Aku menyuruh dia mengambil air susu sebelum tidur.
Isteriku dimasukkan ke wad kerana air ketuban
telah pecah. Katanya bukaan hanya 2cm ketika itu. Dia memberitahuku supaya
jangan risau kerana masih belum rasa sakit bersalin. Pada keesokan harinya
barulah aku bertolak ke hospital untuk bertemu dengan isteri yang kucintai.
Menatap wajahnya yang tidak bermaya, baru aku teringat yang isteriku masih tidak
menyentuh makanan sejak dari petang semalam. Aku menyuruhnya makan sedikit,
tetapi dia menolak kerana doktor telah menyuruh isteriku berpuasa bermula jam 6
pagi. Sayu melihat dirinya yang lemah, aku menghulurkan air minuman untuk
membasahkan tekaknya. Tabahnyaa dirimu..
Apabila jam menunjukkan pukul 10.00 pagi dengan
bukaan seluas 4cm, dia ditolak masuk ke dalam labour room. Entah kenapa dengan
bukaan seluas itu, dia sudah ditolak masuk ke bilik bersalin. Aku pun confuse.
Setahu aku, bukaan yang sesuai untuk melahirkan anak ialah 10cm. Dan aku
dimaklumkan oleh guard wanita India yang bertugas, isteri aku ditempatkan di
bilik D. Dia memaklumkan bahawa kebiasaannya bilik itu akan dihuni oleh mereka
yang mengalami masalah untuk bersalin. Aku mula gelisah. Tak tentu arah. Mungkin
itu adalah mitos yang direka oleh achi India itu berdasarkan pengalamannya
sebagai senior guard di sana. Pujuk aku sendirian.
Berbekalkan Quran burukku yang aku bawa bersama
barang-barang isteri dan baby yang bakal dilahirkan, aku selak helaian 440. Ya..
Aku mencari surah Yaasin. Pesan nenekku, bacalah Yaasin. Semoga dengan berkat
dan rahmat yang ada pada surah itu dapat membantu isteriku bersalin secara
normal. Kumulakan dari al-fatihah dan disusuli surah karamah itu. Satu persatu
perkataan dan ayatnya ku alunkan perlahan sambil di dalam hati tak henti-henti
berdoa agar diselamatkan isteri dan anakku.
Usai membaca Yaasin dan menunaikan solat Zohor,
aku tunggu lagi. Achi India yang sedari tadi memerhatikan gerak langkahku
menegurku ‘’Adik.. Mari ikut saya. Kita masuk ikut pintu belakang. Adik boleh
jumpa isteri adik,’’pelawanya ramah. Mungkin dia sedar aku dah semakin gelisah
dan asyik mengintai ke dalam labour room. Alhamdulillah. Kalau boleh jumpa
tenang sikit hati aku sebab dari tadi hanya membalas sms je. Keadaan sebenar
isteri aku tidak aku ketahui.
Dari jam 10 sampailah jam 4 petang isteriku
ditahan. Bukaannya sekarang hanyalah 6cm. Setelah diinduce kali ke dua, bukaan
rahimnya masih belum membenarkan bayi untuk keluar. Akibat terlalu lama
menunggu, akhirnya doktor memutuskan isteriku perlu dibedah.. Ini kerana bayi di
dalam kandungan isteriku semakin lemah. Aku yang cuba mengawal diri agar tidak
panik, akhirnya tewas kepada diri sendiri. Air mata yang cuba ku sekat agar
tidak mengalir seolah-olah tidak dapat dibendung. Seolah-olah mataku tidak ada
penakung. Setiap kali aku bertutur, menenangkan isteriku.. Setiap kali itulah
air mataku kan bercucuran jatuh ke tangannya. Mana taknya.. dengan keadaan
dirinya yang sudah tidak bermaya, ditambah pula dengan tangan dan kakinya sejuk
bagaikan direndam ais, tubuhnya menggigil. Dengan segala macam wayar berselirat
di perut dan tangannya.. Hatiku meruntun sayu. Para doktor meninggalkan aku dan
isteri untuk meluangkan masa bersama. Mungkin ini adalah untuk kali terakhirnya
aku boleh bercakap bersama isteriku. Ini kerana doktor telah membuat keputusan,
isteri aku mesti dibedah bagi menyelamatkan bayi yang hampir lemas.
Beralunkan surah Yaasin yang dipasang di bilik
bersalin itu..Mata kami bertentangan. Isteriku perasan mataku kembali berkaca.
Dia mula menuturkan kata-kata cinta bagi memulihkan semangatku.
‘’Abang.. Hensemnya Abang harini. Abang suka
tak dengan baju yang sayang belikan untuk Abang tu?’’
Pada ketika itu juga, aku tidak dapat menjawab
dengan perkataan tapi aku rangkul dirinya sambil menangis teresak-esak seperti
tiada lagi esok untuk kami bersama. Aku tidak mampu bersuara walaupun
mengeluarkan sepatah kata. Tapi, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa.
Walaupun dia ‘berpuasa’ , dia masih gagah. Masih kuat untuk memulihkan
semangatku yang semakin luntur..
‘’Abang.. Seandainya doktor memberi pilihan,
siapakah yang Abang ingin selamatkan, sayang atau anak kita.. Abang tolong jawab
‘’ Selamatkan anak saya.. ‘’. Berilah anak kita peluang untuk merasai
kebahagiaan hidup di dunia ini biarpun tanpa umminya di sisi..’’
Sekali lagi aku menangis semahunya. Aku tidak
mahu keadaan itu berlaku. Aku mahukan isteri aku. Aku mahukan kedua-duanya
berada di sisiku. Membesarkan anakku bersama insan pilihanku.
Tamatnya waktu bersama. Isteriku ditolak untuk dibawa ke bilik pembedahan. Aku menghantar Isteriku dengan lirik mata berair sebelum berlalu ke musolla hospital. Aku berwudhuk. Solat 2 rakaat. Aku sujud lama-lama memohon keampunan untuk isteriku juga untuk diriku lebih-lebih lagi. Mungkin ini adalah kaffarah dosa aku selama ini. Aku menangis semahu-mahunya..
Sedari jam 4.30 petang aku menanti penuh sabar
di luar bilik pembedahan. Aku dail, aku telefon nombor keluarga terdekat,
sahabat handai dan rakan-rakan yanga aku kenal. Aku pohon dan merayu dari mereka
agar doa dikirim buat isteriku yang sedang bertarung nyawa melahirkan seorang
khalifah penambah ummat Nabi tercinta. Mulutku tidak henti-henti menbacakan
Hizbul Bahri. Zikir berharga yang tiada nilainya yang aku terima ijazahnya dari
Al-Allamah Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki.
1 jam berlalu. Mundar-mandirku tidak mengeluhku
untuk aku duduk. Walaupun kakiku lenguh berdiri dari tadi, tapi perasaan ingin
tahu akan keadaan isteriku melenyapkan semua keletihan itu. Akhirnya penantian
aku berakhir.. Seorang nurse menolak troli tertutup.. incubator barangkali
namanya.. dengan seorang bayi mata bulat muka mirip anak Cina. Oh! Rupa-rupanya,
bukan isteri aku seorang kat dalam. Ibu cina pun ada.
‘’Suami kepada Zulaikha’’ ‘’Suami kepada
Zulaikha’’ jerit nurse mencari ‘Yusuf’ Zulaikha.
Orang ramai yang turut sama mengintai bayi cina
itu berpandangan antara satu sama lain termasuklah aku. Tiba-tiba aku teringat.
Akulah suami Zulaikha. Macam manalah boleh lupa pulak time-time macam tu.
Aisehhh.. Biasalah beb. Cuak kot masa tu. Sampai nama bini pun lupa daaa..
‘’Ya.. Saya kak. Saya suami dia’’
‘’Encik.. Ini anak encik. Encik bolehlah pegang
dan azankan dia. Tapi sebelum tu, Encik kena kata apa?’’
Nak kata apa pulak nurse ni. Alhamdulillah ke?
Ke terima kasih nurse? Mana aku tahu. Dah la rasa tak percaya pun ada yang anak
cina yang aku sangka tadi tu rupanya anak aku.. Boleh pulak dia suruh kata apa.
Aduilaa.. Nurse pun.
Mungkin nurse tu perasan aku tengah blur, dia
pun selak kain bedung anak aku bagi menyatakan jantinanya. Oh.. Nurse nak suruh
aku buat pengakuan yang anak aku ni perempuan. Baru aku faham.
‘’Perempuan nurse’’ kataku tersenyum
malu.
Aku dakap anak aku. Aku cium dahi dan kedu-dua
pipinya lalu aku azan dan iqamatkan di kedua-dua belah telinganya. Allahurabbi.
Comelnya anak aku. Mata hitam dia bulat besar. Taknak tutup pulak tu.
Alhamdulillah.
‘’Nurse, macamana dengan isteri saya? Bagaimana
keadaan dia?’’ tanyaku setelah sedar dari pukauan mata anak aku ini.
‘’Isteri encik selamat. Dia sedang dijahit.
Kejap lagi dia keluar..’’
Tidak lama selepas itu, Isteri aku ditolak
keluar. Alhamdulillah. Syukur kepada-Mu ya Allah. Biarpun Kau mentaqdirkan dia
bersalin secara Caesar, namun aku bersyukur sangat-sangat kerana Engkau masih
lagi memberikan kesempatan untuk aku berkasih-sayang dengannya. Hanya pada Mu
segala puji-pujian layak kami berikan.
Keluarnya isteri aku dari bilik pembedahan
bukannya dengan tangisan. Malah, tiada setitis air pun yang aku perasan
membasahi matanya. Walaupun kesakitan, seukir senyuman dia hadiahkan kepadaku.
Terharu. Sungguh terharu. Aku kucup dahinya dan mengucapkan
‘’Terima kasih Sayang kerana sanggup berkorban
nyawa demi melahirkan zuriat Abang’’.
P/S : Wahai suami sekalian.. Hargailah isteri
kita sebaiknya. Apabila ada tercalit perasaan tidak puas hati dan ingin marah
kepadanya.. Ingatlah akan pengorbanan yang telah dia berikan kepada kita. Zuriat
keturunan kita yang lahir dari rahimnya. Diamkanlah diri tenangkanlah hati. Bila
keadaan kembali reda, bersuaralah. Nasihatilah mereka dengan hikmah hasanah.
Bukan dengan kekerasan yang bakal mengundang padah. Sesungguhnya wanita itu
dijadikan dari tulang yang bengkok. Andai ditegakkan dengan kekerasan nescaya
kan patahlah ia. Akan tetapi andai dilentur dengan lemah lembut dan profesional,
dia kan menjadi bidadari kita bukan setakat di dunia tetapi di syurga yang kekal
selamanya.
0 Response to "Suami Mundar Mandir Menanti Isteri Yang Sedang BERSALIN...Jururawat Keluar Dan....."
Post a Comment