JEDDAH
– Kereta api berkelajuan tinggi Haramain akan menggantikan khidmat kebanyakan
operasi bas ekspres yang membawa para jemaah haji dan umrah antara kota suci
Makkah dan Madinah, menjelang Disember 2016.
Sebanyak
35 tren laju tersebut akan beroperasi pada akhir tahun depan untuk manfaat lebih
dua juta jemaah, menurut seorang pegawai Haramain seperti dipetik sebuah akhbar
tempatan Arab News baru-baru ini.
Setiap
kereta api akan mempunyai 15 gerabak dan tiga gerabak kelas pertama. Tren buatan
Sepanyol itu mampu menghubungkan dua bandar tersebut dalam masa 90 minit
merentasi landasan sejauh 450 kilometer.
Kerja-kerja
pembinaan akhir bagi operasi perkhidmatan kereta api laju Haramain itu pun sudah
selesai dijalankan di stesen-stesen utama termasuk di Madinah dan Bandar Ekonomi
Raja Abdullah di Rabigh dekat Makkah.
Manakala
kerja-kerja di stesen-stesen kereta api di tanah suci Makkah dan Jeddah pula
hampir selesai, menurut pegawai tersebut. Tren Haramian itu mampu bergerak pada
kelajuan maksimum mencecah 360 kilometer sejam.
Projek
prasarana tersebut sepatutnya siap pada bulan lalu dan boleh digunakan sebagai
pengangkutan untuk jutaan jemaah haji musim ini, namun terlewat ekoran beberapa
masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Ujian
khidmat kereta api Haramain juga sudah mula dijalankan di laluan-laluan kereta
api antara Madinah dan Rabigh. Kerja-kerja pada sistem isyarat kereta api,
prasarana elektrik dan sistem-sistem lain juga berjalan lancar.
Mula
dibina sejak 2009 lalu, projek tren moden berkuasa elektrik Saudi Railways
Organization (SRO) dengan landasan berkembar itu apabila beroperasi kelak
mampu membawa sehingga 150,000 penumpang setiap hari.
Projek
mega bernilai kira-kira 30.8 bilion riyal (RM28.6 bilion) itu menghubungkan dua
kota suci utama umat Islam, Makkah dan Madinah menerusi terminal induk di Jeddah
serta meliputi empat buah stesen persinggahan.
“Perjalanan
antara Jeddah – Makkah akan mengambil masa hanya setengah jam, sementara
perjalanan antara Jeddah – Madinah pula hanya akan mengambil masa sekitar dua
jam,” kata beliau. – Agensi
0 Response to "Tren Laju Makkah - Madinah Ganti Operasi Bas Akhir 2016"
Post a Comment