![]() |
Isu meramas dan meraba telah menggamatkan
persidangan Dewan Rakyat petang Selasa apabila beberapa anggota Parlimen
mempersoalkan standard pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang negara
ini.
|
Perkara itu mula dibangkitkan oleh Datuk Dr Marcus
Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanyakan kepada Timbalan Menteri Pengangkutan,
Datuk Ab Aziz Kaprawi yang ketika itu sedang menggulung perbahasan Rang
Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian
Pengangkutan.
Mojigoh meminta Ab Aziz menjelaskan mengapa
pemeriksaan keselamatan terhadap anggota badan penumpang sebelum menaiki pesawat
dilakukan menggunakan tangan, sedangkan ia sepatutnya dilakukan menggunakan
pengimbas badan memetik Bernama.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pemeriksaan
keselamatan seperti itu masih dilakukan di lapangan terbang negara ini,
sedangkan negara Amerika Syarikat yang mempunyai tahap keselamatan yang tinggi
di lapangan terbang juga tidak melakukan pemeriksaan sedemikian.
“Saya tidak faham, mengapa pemeriksaan dilakukan
menggunakan tangan? Seolah-olah pegawai keselamatan yang membuat pemeriksaan itu
mempunyai tangan ajaib yang boleh mengesan bahan letupan.
“Kita anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak
setiap minggu menaiki pesawat dan maknanya setiap minggu kami semua kena raba,”
katanya sambil disambut gelak tawa dari anggota Parlimen yang lain.
Rungutan Mojigoh itu turut dipersetujui Datuk Dr
Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang mempersoal adakah pemeriksaan
“meraba” itu boleh menjamin keselamatan.
“Ini berkaitan isu keselamatan bukan isu meraba,
jadi mengapa tidak disediakan alat seperti di lapangan terbang di luar negara,”
katanya.
Menjawab pertanyaan itu, Ab Aziz berkata, isu
tersebut sepatutnya tidak timbul kerana setiap penumpang diperiksa oleh pegawai
keselamatan dari jantina yang sama dengan penumpang terbabit.
Katanya, pemeriksaan badan menggunakan tangan amat
penting kerana tidak semua pengimbas badan mampu mengesan bahan letupan terutama
yang diperbuat daripada seramik.
“Oleh kerana kita mengamalkan standard keselamatan
yang tinggi, maka ia perlu dibuat. Bagaimanapun ia tidak dilakukan sehingga ke
bahagian anggota sulit,” katanya.
Beberapa anggota dewan kemudian bangkit untuk
menyatakan pandangan mengenai perkara itu namun Timbalan Yang Dipertua Dewan
Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mencelah dan berkata: “Ini kalau dibiarkan
sampai malam pun tidak habis.”
Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah)
turut mencelah yang bertanyakan mengenai pemeriksaan keselamatan yang
menghendaki penumpang menanggalkan tali pinggang.
“Saya tiada masalah kena raba. Cuma saya ingin tahu
konsistensi mengenai tali pinggang di mana ada lapangan terbang perlu
tanggalkan, tapi ada lapangan terbang tidak perlu tanggalkan,”
katanya.
Ab Aziz kemudian menyatakan bahawa isu pemeriksaan
keselamatan itu akan dibawa untuk perhatian Malaysia Airports Holdings Bhd dan
akan dilihat secara mendalam.
0 Response to "DEWAN RAKYAT GAMAT ISU 'MERAMAS' & 'MERABA'"
Post a Comment