
Ampang: Seorang
wanita terpaksa merayu belas simpati kepada lima perompak yang mengugut mahu
memotong jari manisnya selepas mereka gagal mencabut cincin berlian dipakai
mangsa.
Kejadian berlaku jam
4.30 pagi semalam, apabila penjenayah menceroboh masuk rumah mangsa berusia
40-an di Taman Hijau, di sini.
Difahamkan mangsa
terpaksa menggunakan sabun dan minyak masak yang disapu pada jari tangannya bagi
mencabut cincin perkahwinan dipakai sebelum diserahkan kepada
penjenayah.
Suami mangsa, seorang
warga Perancis yang hanya mahu dikenali sebagai Alain, 50-an berkata, ketika
kejadian hanya dia dan isterinya berada di rumah manakala dua anaknya belajar di
luar negara.
Katanya, dia terkejut
apabila mendapati lima penjenayah berpakaian serba hitam dan bertopeng berada di
dalam bilik tidurnya sambil mengacukan pisau.
“Mereka (penjenayah)
terus bertindak mengikat saya dan isteri menggunakan kabel pengecas telefon
sebelum menyelongkar seluruh rumah untuk mencari barangan berharga.
“Sebaik mereka
terlihat cincin berlian tersarung di jari tangan isteri saya, penjenayah cuba
mencabutnya tetapi gagal,” katanya.
Dia berkata,
penjenayah kemudian mengugut mahu memotong jari, namun isterinya merayu supaya
dia dibenarkan berusaha menanggalkan cincin itu terlebih dahulu.
“Cincin itu sudah
lama disarung menyebabkan ia menjadi ketat dan sukar dicabut daripada jari.
Isteri saya terpaksa menggunakan sabun dan minyak masak sebelum berjaya
menanggalkan cincin itu.
“Sebaik memperoleh
cincin itu, semua suspek melarikan diri melalui pintu belakang dan memasuki
kawasan hutan di belakang rumah,” katanya.
Dia yang memeriksa
rumah mendapati jeriji besi pintu di belakang rumah diumpil sebelum menghubungi
polis untuk mendapatkan bantuan segera.
“Mereka melarikan
wang tunai pelbagai matawang asing termasuk wang tunai RM1,000. Selain itu
mereka turut melarikan pelbagai jenis barang kemas, sembilan utas jam tangan dan
tiga beg galas mengandungi Ipad.
“Kerugian dianggarkan
sekitar RM28,000 tetapi saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang
kecederaan dalam insiden ini,” katanya.
Alain berkata, dia
sudah berada di negara ini sejak 15 tahun lalu dan baru berpindah ke rumah itu
sejak dua bulan lalu.
Harian
Metro
0 Response to "Jari Hampir Dipotong Perompak Kerana Cincin Berlian"
Post a Comment