
Juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT)
memastikan rentak kemenangan berterusan apabila menundukkan Perak dalam saingan
Kumpulan B Piala Malaysia 2015 di laman lawan, malam ini. Kemenangan JDT di
Stadium Perak, Ipoh itu sekali gus meranapkan peluang Perak untuk melangkah ke
peringkat seterusnya apabila menduduki kedudukan terakhir kumpulan berbaki satu
perlawanan.
Masih segar dengan kemenangan menjulang trofi
berprestij Asia, minggu lalu, JDT yang beraksi tanpa tekanan apabila sudah pun
melayakkan diri ke peringkat suku akhir begitupun terlebih dulu ketinggalan
menerusi jaringan pemain import, Charles Souza Chad pada minit ke-29.
Tanpa dikawal, pemain tinggi lampai itu
melonjak tinggi menyambut hantaran Hafiz Ramdan menerusi sepakan percuma bagi
menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi. Begitupun, kedudukan itu pantas
disamakan penyerang JDT, Amri Yahyah lima minit permainan bersambung sekalipun
jaringannya dianggap kontroversi.
Gol kemenangan JDT muncul pada masa kecederaan
babak pertama menerusi Safee Sali yang bijak merebahkan badan dan menanduk bola
ke gawang Perak menerusi hantaran Amir Saidin.
Di sebalik rentetan serangan ditampilkan
kedua-dua pasukan, tiada tambahan jaringan diledakkan pada babak kedua. JDT
ketika ini mengumpul 15 mata maksimum dalam Kumpulan B selepas mencatat
kemenangan dalam kelima-lima perlawanan terakhir diikuti Sarawak di kedudukan
kedua dengan tujuh mata.
ATM di kedudukan ketiga dengan empat mata
manakala Perak mengumpul tiga mata.
0 Response to "Perak Kekal Tercorot Kumpulan B Piala Malaysia 2015"
Post a Comment