KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad berasa bersalah terhadap
pengacara Salleh Yaakob dan Raja Azura kerana mereka menjadi mangsa pengguna
laman sosial yang tidak berpuas hati dengan gimik penukaran pengacara pada Gegar
Vaganza 2 minggu kelima lalu.
Nabil, 32, berkata, perkara tersebut
hanyalah gimik yang diambil serius oleh penonton sehingga ada yang sanggup
melontorkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada dua pengacara veteran
itu.
“Saya rasa bersalah pula kerana itu adalah gimik semata-mata. Kita
tidak ada niat pun untuk tukar pengacara tetapi produksi cuma ingin tahu
bagaimana reaksi penonton sahaja kerana sebelum itu saya dan Jihan sering
dikecam.
“Penonton pula terlalu ambil serius tentang perkara itu sehingga
ada yang tulis macam-macam dan bandingkan kami dengan Salleh Yaakob dan Raja
Azura kerana mahukan saya dan Jihan terus jadi pengacara dalam Gegar Vaganza 2,”
ujarnya kepada mStar Online.
Nabil ditemui pada majlis pelancaran dan
sidang media siri animasi Didi & Friends, di Piching Centre, Platinum
Sentral, di sini, Khamis.
Sementara itu, bercakap tentang gaya
pengacaraannya yang dikatakan tidak sensitif dan terus dengan lawak-lawak kasar,
Nabil berkata ia sudah diatur oleh pihak produksi.
Katanya, dia pernah
meminta untuk tidak terlalu keterlaluan pada minggu ketiga selepas menerima
pelbagai kritikan, namun program tersebut menjadi hambar dan tidak
meriah.
“Ketika awal-awal kena kecam dengan orang ramai, saya juga tidak
tahan dan minta untuk tone down sedikit pada minggu ketiga.
“Namun,
selepas tamat rancangan itu, saya dapat maklum balas yang kebanyakkannya tidak
suka dan mahu saya jadi diri sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelasnya,
lawak-lawak berkaitan hal rumah tangga juri tetap iaitu Datuk Ramli MS juga
sudah mendapat keizinan beliau terlebih dahulu.
Selain itu, tambah Nabil,
usikannya terhadap penyanyi Farahdhiya juga hanyalah di atas pentas
semata-mata.
“Kami ada sesi latihan dan apa yang saya nak cakap kepada
peserta dan juri semua kami sudah tahu.
“Macam usikan-usikan saya
terhadap Farahdhiya juga tidaklah sampai keluar. Saya sebanarnya jarang berborak
pun dengan dia di belakang pentas,” ujarnya.
Sementara itu, Nabil
berkata, Gegar Vaganza 2 juga antara program yang meletakkan namanya dalam dunia
pengacaraan sebaris pengacara popular.
Dia juga berbangga menjadi salah
seorang yang penyumbang kepada fenomena program tersebut setiap
minggu.
Gegar Vaganza musim kedua kini memasuki minggu ke 7 dan bersiaran
setiap Ahad secara langsung dari Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam
(MBSA).
0 Response to "Punca Nabil Ahmad Rasa Bersalah Terhadap Salleh Yaakob & Raja Azura Harus Dibaca"
Post a Comment