
KOTA BHARU – Stadium
Sultan Muhammad IV yang akan bertukar wajah kepada warna merah jambu bakal
‘disejukkan’ lagi dengan laungan azan secara langsung sebelum bermulanya setiap
perlawanan bola sepak.
Presiden Persatuan Bola
Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, gema seruan solat itu
dikumandangkan ketika masuk waktu fardu Isyak yang kebetulan berlangsung sebelum
perlawanan bermula.
Penaiktarafan di dalam
kemudahan penjualan tiket secara mudah dan awal secara atas talian selain tiket
bermusim untuk penyokong skuad The Red Warriors juga juga akan
dipertingkatkan.
Annuar berkata, KAFA bakal
menambah elemen kekeluargaan dalam perlawanan melibatkan pasukan negeri Pantai
Timur itu termasuk pembabitan lebih banyak atlet, budayawan, tokoh
tempatan.
“Kita cuba mewujudkan rasa
muhibbah, mesra keluarga dan imej prihatin serta memperkenalkan ruang dan
jemputan khas untuk golongan anak yatim, orang kurang upaya, individu berjasa
datang ke stadium.
“Ini akan menambah
pengalaman menarik kepada penonton. Beberapa pendekatan baharu diwujudkan dan
Insya-Allah satu rundingan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan
diadakan minggu depan,” katanya.
Perubahan itu dilakukan
susulan persetujuan KAFA untuk menerima tajaan sebanyak RM16 juta daripada
pengusaha produk kecantikan Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali
Datuk Vida.
Sementara itu, pengasas
Vida Beauty Qu Puteh itu dijangka menyerahkan pelan lakaran keseluruhan stadium
untuk dicat warna merah jambu selepas 15 Januari ini kepada KAFA dan Perbadanan
Stadium Kelantan (PSK).
Dr. Hasmiza yang juga
Penasihat Kehormat KAFA itu, berkata buat masa ini, pelan bahagian luar stadium
sudah pun siap, cuma lakaran bahagian dalam mengambil masa sedikit kerana banyak
perubahan perlu diteliti.
Katanya, sebaik saja kerja
mengecat, pemulihan dan pengubahsuaian dilakukan, selepas empat bulan Stadium
Sultan Muhammad IV akan bertukar wajah dengan warna tema utamanya merah jambu
dan putih.
“Saya akan buat penelitian
terlebih dahulu bahagian dalam stadium kerana banyak perubahan perlu dilakukan
termasuk laluan khas wanita, tempat duduk, surau dan tandas.
“Stadium berkenaan
sekarang ini dalam keadaan agak teruk terutamanya selepas dilanda banjir besar
awal tahun lalu, jadi alang-alang mahu membaik pulih, saya mahu semua
diubah.
“Warna bahagian dalam
tetap sama iaitu merah jambu dan putih, cuma saya mahu pastikan penyokong selesa
setiap kali masuk stadium, sekali gus bersemangat untuk beri sokongan kepada
skuad kesayangan mereka.
“Buat masa ini, belum ada
lagi tender untuk melakukan semua kerja pengubahsuaian stadium kerana mahu
memastikan kerja pelan selesai terlebih dahulu,” kata Dr. Hasmiza.
Sebanyak RM1 juta dijangka
dibelanjakan bagi mengubah wajah stadium dibina pada 1967 yang berkapasiti
30,000 penonton, termasuk mengecatnya semula dengan warna merah
jambu.
Stadium berkenaan akan
dijadikan sebagai mercu tanda baharu pelancongan di negeri ini apabila bukan
saja dicat warna merah jambu, malah mempunyai rekaan tersendiri dengan dihiasi
lampu yang berwarna sama.
0 Response to "LAUNGAN AZAN BAKAL HIASI STADIUM PINK SEBELUM PERLAWANAN"
Post a Comment