Sejak dua tiga hari yang lepas, saya terima gambar foto sepucuk surat pekeliling menyatakan murid menghadapi masalah positif Scoliosis kerana membawa dan menggalas beg yang terlalu berat.
Surat yang ditandatangani oleh Pegawai Kesihatan, Pakar Perubatan (Kesihatan Awam) Gred U52, Dr. Mas Ahmad Sherzkawee Mohd Yusofff juga turut menerangkan definisi Scoliosis.
Katanya, ia adalah masalah kesihatan di mana tulang belakang menjadi bengkok dan berlaku dalam kalangan remaja yang berumur 10 hingga 18 tahun dan kelewatan merujuk kes itu kepada doktor boleh menyebabkan peningkatan morbiditi.
Selepas menghubungi Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, saya mendapati surat itu adalah sahih. Namun saya tidak dapat menghubungi doktor Dr. Mas Ahmad untuk mendapat keterangan lanjut. Mungkin selepas ini, saya akan dapat menghubungi beliau atau pihak yang bertanggungjawab sebagai tindak balas kepada komentar saya ini.
Sebagai seorang ibu kepada anak yang belajar di Tahun 2, saya sememangnya terkesan dengan masalah kanak-kanak menggalas dan membawa beg berat. Bukan apa, setiap kali ada sahaja rungutan daripada anak saya, beg beratlah, sakit belakanglah, sakit tengkuklah, penatlah…. macam-macam. Saya fikir perkara ini biasa kerana dulu saya juga membawa beg yang agak berat.
Tetapi melihatkan saiz anak perempuan saya yang sangat kurus, 16 kilogram sahaja tetapi beng yang disandar, 1/3 daripada beratnya iaitu 5.3 kilogram, saya agak resah.
Mujur, saya ada seorang rakan pakar perubatan di Hospital Universiti Malaya. Segera saya menghubunginya untuk bertanya jikalau beg berat ini boleh bawa kesan negatif kepada perkembangan fizikal anak saya.
Jawapan yang saya terima; Tidak ada.
“Kalau macam itu, bayangkan waktu kita dahulu, kita ok sahaja. Bukan kita sahaja, ramai lagi di luar sana yang menjunjung berangan berat. Dulu-dulu sewaktu ibu bapa kita bekerja di estet kelapa sawit misalnya, jumlah berat biji kelapa sawit yang mereka junjung berbelas dan berpuluh kilogram berat!
“Ok, berapa lama anak u galas beg? Sehari suntuk? Sejam secara berterusan? Tidak bukan? Sebenarnya masa, berapa lama mereka junjung beg turut mempengaruhi. Kalau mereka galas beg untuk seketika, awak tidak perlu risau, ia perkara biasa.”
Walaupun jawapan yang diberi itu ada logiknya, saya masih tidak tenteram. Mengetepikan alasan perubatan yang turut diberikan, saya masih kasihan melihat anak saya yang terpaksa memanjat dua tingkat membawa begnya yang berat ke kelasnya.
“Sepatutnya cikgu-cikgu ini kena faham, sudahlah beg berat, kanak-kanak saiz kecil masih di Tahun 1 dan 2 atau 3, tak usahlah tempatkan mereka di tingkat atas. Beri sahaja tingkat bawah atau tingkat satu. Kalau terjatuh nanti, satu lagi hal pula…” fikir saya.
Mujur, selepas mendapati ada pekeliling dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Lembah Pantai dan ia diviralkan secara meluas, saya merasakan isu ini akan dibawa ke perhatian umum, khususnya oleh pihak ibu bapa, PIBG, sekolah dan kementerian.
Sekali lagi saya hubungi rakan saya itu, dan dia masih berkeras bahawa beg berat tiada kaitan dengan masalah Scoliosis yang dimaksudkan.
“Scoliosis ialah penyakit bawaan sejak kecil atau kecacatan kelahiran.
“Beg yang berat, lebih banyak tekanan untuk otot untuk mengekalkan postur, justeru ia menyebabkan sakit belakang. Kelengkungan tulang belakang tidak normal.
“Kalau ini kesnya, pasti ramai pelajar akan terseksa dengan Scoliosis, termasuk saya dan awak.
“Bagaimanapun saya akui Scoliosis perlukan rawatan awal.”
“Terdapat satu artikel jurnal, penyelidikan oleh profesional kesihatan dan perbincangan mengenainya. Kesan jangka panjang yang disimpulkan ialah sakit belakang kronik,” terangnya buat kali kedua.
Walaupun peneranganya kali kedua itu dapat memberikan pemahaman yang lebih nyata, saya masih berharap supaya sekolah anak saya di Shah Alam dan semua sekolah lain mempertimbangkan isu beg sekolah berat ini.
Saya sebagai seorang ibu, tidak berasa selesa dengan beban yang ditanggung oleh anak saya itu.
Mungkin jadual harian yang dikeluarkan oleh guru harus lebih fleksibel dan mesra kanak-kanak dengan kuantiti buku yang rasional. Bukanlah setiap subjek ada tiga buku teks/latihan, tiga buku nota. Kalau lima subjek sehari (purata) hmm, kiralah sendiri!
Mungkin juga sekolah boleh sediakan loker untuk kanak-kanak simpan buku di sekolah, jika berkemampuan.
Mungkin kementerian pendidikan atau jabatan pendidikan harus buat kajian impak beban beg berlebihan kepada kesihatan keseluruhan kanak-kanak. Biarpun seperti kata rakan doktor saya, beg berat hanya sebabkan sakit belakang, ibu mana sanggup menerima rungutan sakit belakang daripada anaknya yang masih kecil?
Pertimbangkanlah…
0 Response to ""BERAT ANAK SAYA 16KG, BEG SEKOLAHNYA 5.3KG!!", IBUBAPA KHUATIR ANAK AKAN MENGHIDAP PENYAKIT SCOLIOSIS"
Post a Comment