WASHINGTON DC – Pakar
arkeologi antarabangsa mengenal pasti tiga petak tapak perkuburan Islam di
selatan Perancis yang dipercayai sebagai tertua pernah ditemui di benua Eropah,
berusia seawal abad kelapan Masihi.
Rangka-rangka manusia di
sebuah lokasi kubur lama zaman pertengahan di Nimes ditemui menghadap ke arah
Makkah, Arab Saudi dan analisis genetik menunjukkan keturunan sebelah bapanya
adalah dari Afrika Utara.
Perkara cukup mengejutkan
pakar seluruh dunia itu didedahkan menerusi satu kajian diterbitkan dalam portal
jurnal penyelidikan terbesar di dunia PLOS ONE yang sebelumnya dikenali
sebagai Public Library Of Science.
Ujian radiokarbon
menunjukkan tulang-tulang manusia tersebut berkemungkinan daripada abad ketujuh
atau kesembilan sekali gus menunjukkan jenazah berasal pada zaman penaklukan
Eropah oleh tentera Islam masa itu.
“Kami percaya mereka orang
Barbar yang pernah menyertai pasukan tentera Arab ketika perkembangan pesat
ajaran Islam disebarkan melalui rantau Afrika Utara menuju ke Andalusia (kini
Sepanyol),” menurut kajian itu.
Dapatan terkini itu
menambah dimensi baharu kepada pengetahuan tentang era tersebut, yang sebelum
ini terhad kepada pendedahan menerusi buku-buku sejarah lama dan segelintir
sahaja data arkeologi tapak purba.
Perancis hari ini terdiri
daripada lebih dua juta umat Islam termasuk pendatang dengan memiliki sejumlah
2,500 buah masjid sekali gus menjadikan negara itu paling ramai didiami oleh
masyarakat Muslim di benua Eropah.
“Kami tahu orang Muslim
datang ke Perancis pada abad kelapan, tetapi sehingga sekarang kami tidak ada
bahan yang membuktikan demikian,” kata Yves Gleize, penulis utama kajian itu
kepada agensi berita antarabangsa AFP.
Beliau yang juga saintis
antropologi di Institut Nasional Perancis bagi Kajian Arkeologi Pencegahan
berkata, kawasan perkuburan tersebut pertama kali ditemui pada 2006 lalu
berhampiran jalan raya utama di Nimes.
Ia dijumpai secara
kebetulan ketika sekumpulan pekerja projek pembinaan tempatan sibuk melakukan
kerja pengorekan untuk mewujudkan sebuah ruang garaj tempat letak kereta bawah
tanah di kawasan berkenaan.
Analisis teliti yang
dijalankan sejak beberapa tahun lalu menunjukkan jenazah-jenazah lelaki dalam
perkuburan tersebut diletakkan di sebelah kanan menghadap arah Makkah, menurut
cara pengebumian lazim ajaran Islam.
Mayat-mayat berkenaan
dipercayai seseorang yang mungkin berusia 20-an ketika meninggal dunia manakala
seorang lagi dianggarkan berusia 30-an dan jenazah ketiga berumur dalam
lingkungan umur lebih 50 tahun.
Tulang-tulang mereka
bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda luka kecederaan pada tubuh akibat
pertempuran yang berlaku pada zaman tersebut. Ketiga-tiga kubur itu terletak 2.5
meter antara satu sama lain.
Sebuah lagi perkuburan
Islam lama pernah ditemui di Marseille, namun ia berasal dari abad ke-13 dan
sebuah tanah perkuburan masyarakat Muslim dijumpai di Montpellier yang mungkin
berasal dari abad ke-12.
0 Response to "SUBHANALLAH!! INILAH KUBUR ISLAM YANG TERAWAL DI ABAD KE-8 DITEMUI DI PERANCIS"
Post a Comment