Al-Quran Ditumbuhi Pokok Bunga Anggerik



SIMUELUE (Indonesia) – Pasangan suami isteri di wilayah Aceh terkejut besar selepas mendapati senaskah kitab al-Quran milik mereka ditumbuhi pokok bunga anggerik.

Pohon bunga spesies orkid setinggi 10 sentimeter itu didapati tumbuh segar di ayat lapan hingga 12 surah At-Tahrim pada halaman 406 di kitab suci umat Islam berkenaan.

Tumbuhan flora itu tumbuh pada kitab al-Quran milik suami isteri, Adirmansyah, 34, dan Samsidar, 25, yang menetap di Desa Lasengaluh, sebuah pulau kecil di barat Sumatera.

Samsidar berkata, kitab tersebut ditemui secara tidak sengaja olehnya di parit berhampiran rumahnya kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, al-Quran itu ditemui dalam satu plastik hitam yang terapung di parit berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati plastik itu mengandungi senaskah al-Quran dan kitab Iqra yang basah sebelum membawa ia pulang ke rumah.

“Sampai di rumah saya mencuci kitab berkenaan sebelum dijemur dan disimpan di satu rak khas,” katanya.
Menurutnya, dia berhasrat mahu memberikan kitab berkenaan kepada dua orang anaknya untuk mereka belajar mengaji nanti.

“Baru-baru ini apabila saya membuka semula kitab al-Quran berkenaan, saya berasa terkejut apabila menemui ada pokok kecil tumbuh di dalamnya.

“Pokok bunga anggerik ini mempunyai 11 daun dan lima tunas serta dipercayai berusia lebih 20 hari,” katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana pokok bunga berkenaan boleh tumbuh di kitab al-Quran itu. – Agensi/myMetro Online

0 Response to "Al-Quran Ditumbuhi Pokok Bunga Anggerik"

Post a Comment