KUANTAN – Berpura-pura memakai telekung seakan-akan baru selesai menunaikan solat Subuh.
Itu lakonan seorang remaja perempuan ketika
membuka pintu bilik hotel bagi mengelabui mata pihak berkuasa yang menjalankan
pemeriksaan dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel murah di Jalan Sekilau
di sini semalam.
Bagaimanapun taktik itu gagal memperdaya
anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) apabila remaja perempuan
tersebut didapati terlupa memakai kain sarung manakala pasangannya yang bukan
muhrim dijumpai menyorok di atas almari dalam keadaan tanpa pakaian di bilik
tersebut.
Remaja perempuan berusia 21 tahun itu kemudian
ditahan bersama pasangannya yang berusia 20-an kerana dipercayai berkhalwat di
dalam bilik hotel berkenaan.
Dalam serbuan pukul 6.30 pagi yang turut
disertai wartawan, para pegawai penguat kuasa JAIP menolak alasan remaja lelaki
terbabit yang memasuki bilik hotel tersebut untuk menghantar seterika.
“Kami tidak percaya kamu menghantar seterika,
kalaupun betul kamu berbuat begitu mengapa perlu berdua-duaan dan berada dalam
keadaan tidak menutup aurat,” kata salah seorang pegawai JAIP di tempat
kejadian.
Ekoran gagal menjawab pelbagai soalan anggota
penguat kuasa JAIP, pasangan terbabit akhirnya ‘menyerah diri’ sebelum dibawa ke
pejabat JAIP Kuantan untuk siasatan lanjut dan kaunseling.
Dalam perkembangan sama, Penolong Pengarah
Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIP, Badaruddin Ahmad Bustami
berkata, seramai 40 individu berumur dalam lingkungan 20-an ditangkap kerana
dipercayai berkhalwat di dalam bilik hotel murah.
Menurutnya, operasi sempena sambutan Ambang
Merdeka itu membabitkan pemeriksaan enam buah hotel selama dua jam bermula
seawal 6 pagi.
“Kami mendapati kebanyakan mereka yang
ditangkap telah menginap di hotel selepas bersiar-siar sehingga awal pagi,”
katanya.
Berikutan itu, beliau menyatakan, setiap
individu terlibat akan diambil keterangan dan akan didakwa di
mahkamah.
0 Response to "Kantoi, Bertelekung Solat Tapi Tak Berseluar Dalam"
Post a Comment