JOHOR BAHRU: Pada usia 23
tahun, Mundzir Abdullah, sudah berjaya menamatkan pengajian peringkat doktor
falsafah (PhD) dan bidang pengajian pilihannya juga bukan calang-calang.

Kejayaan
pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu menjadikannya pelajar termuda
dianugerahkan kelulusan berkenaan di negara ini.
Serentak itu, nama anak
kepada pasangan bekas pensyarah UTM, Dr Abdullah Daud, 61, dan suri rumah,
Zakiah Mat, 56, ini kini tercatat dalam Malaysia Book Of Records (MBR),
menggantikan Dr Hazzirah Izzati Mat Hassim, juga lepasan UTM dari Kelantan, yang
muncul graduan PhD termuda pada usia 24 tahun, tahun lalu.
"Saya
bersyukur kerana hasrat menerima PhD termakbul walaupun hampir putus asa untuk
menyiapkan tugasan penyelidikan dalam bidang aplikasi laser.
"Seperti
tidak percaya apabila menjadi penerima termuda PhD. Ini membuktikan ilmu bukan
diukur dengan usia," kata Mundzir, yang menerima ijazahnya pada Majlis
Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-55, di sini, hari
ini.
Anak keenam daripada 11 beradik itu berkata, beliau tiada rahsia
khusus di sebalik kejayaan berkenaan, malah mengakui pernah hampir berputus asa
sebelum diberi tunjuk ajar dan galakan semangat oleh tenaga pengajar serta rakan
sehingga berjaya menyiapkan penyelidikan dalam aplikasi laser.
Mundzir
yang mengikuti pengajian peringkat PhD selama 33 bulan, berkata sepanjang
pengajian, beliau menerbitkan lebih 20 kertas kerja di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa selain membuat pembentangan pada persidangan berkaitan.
0 Response to "Mundzir Penerima PhD Termuda Negara"
Post a Comment