Sekurang-kurangnya 120
orang dilaporkan mati dalam beberapa tindakan keganasan di Paris, termasuk
tembakan di sebuah restoran dan letupan berhampiran stadium sukan utama di
negara itu, televisyen Perancis BFM melaporkan.
Kira-kira 100 orang
terbunuh di dalam dewan konsert Bataclan yang terletak di pusat bandar Paris dan
20 lain terkorban di beberapa lokasi berbeza sekitar bandar dalam serangan
militan itu, kata pegawai Dewan Bandaraya Paris.
Lelaki bersenjata yang
menyerbu dewan konsert turut terbunuh, Presiden Francois Hollande berkata,
Perancis mengutuk mereka yang melakukan serangan.
Menurut Reuters,
serangan pistol dan bom yang kelihatannya diselaraskan itu datang ketika
Perancis sedang dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi serangan pengganas
menjelang persidangan iklim global yang akan diadakan bulan
ini.
Perancis merupakan ahli
pengasas gabungan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dalam melancarkan serangan
udara terhadap pejuang Negara Islam di Iraq dan Syria (Isis).
Sumber keselamatan Barat
berkata, mereka mengesyaki sebuah kumpulan militan Islam dalang di sebalik
pembunuhan beramai-ramai itu.
Beberapa letupan
kedengaran berhampiran stadium Stade de France di mana satu perlawanan bola
sepak persahabatan antara Perancis dan Jerman sedang diadakan.
Hollande dibawa keluar
dari stadium itu selepas beberapa siri letupan.
Pegawai keselamatan AS
yang memantau keadaan percaya, serangan itu diselaraskan, lapor
Reuters.
Hollande berkata darurat
akan diisytiharkan di seluruh Perancis dan sempadan negara ditutup berikutan
beberapa kejadian serangan itu yang menyaksikan ratusan orang awam terbunuh dan
cedera.
"Ia mengerikan," kata
Hollande dalam satu kenyataan ringkas di televisyen, sambil menambah memanggil
mesyuarat Kabinet.
"Keadaan darurat akan
diisytiharkan," kata beliau sambil menambah Perancis menggunakan 1,500 tentera
tambahan ke Paris berikutan serangan itu.
"Langkah kedua adalah
penutupan sempadan negara," katanya.
Perancis mengalami
sekurang-kurangnya 3 serangan pengganas berprofil tinggi sebelum ini pada tahun
ini.
Pada Januari, 17 orang
terbunuh dalam 2 serangan, satu berkaitan majalah satira Charlie Hebdo dan satu
lagi, sehari kemudian, di kedai runcit "kosher" di Paris.
Pada Ogos, 2 tentera AS
cedera selepas berdepan seorang lelaki bersenjata di atas sebuah kereta api
berkelajuan tinggi antara Amsterdam dan Paris, berpotensi mengelakkan pembunuhan
beramai-ramai. – 14 November, 2015.
Sumber - themalaysianinsider
0 Response to "120 terbunuh dalam serangan di Paris"
Post a Comment