
Misteri lorong sunyi.
Ashraf pada mulanya
memang sukar untuk mempercayai cerita-cerita mengenai hantu, makhluk halus,
ghaib dan sebagainya. Kadang-kadang dia membantah rakan-rakan apabila mereka
bercerita tentang kisah-kisah pelik atau misteri. Bukan kerana dia takut tetapi
kerana dia memang tidak mempercayainya.
Tetapi kejadian tiga bulan lalu
mengubah pendirian Ashraf. Akhirnya dia terpaksa mengaku bahawa kisah-kisah
seram, ghaib dan makhluk halus ini memang wujud di dunia ini. Memang kejadian
itu begitu sukar untuk dia lupakan, bahkan masih segar dalam
ingatannya.
Kejadian yang amat menakutkan itu berlaku di satu lorong
sunyi yang terletak tidak jauh dari kilang tempat Ashraf bekerja. Sememangnya
lorong sunyi itu menjadi laluan baginya setiap kali pulang dari tempat kerja.
Ashraf sebenarnya sudah lama menggunakan lorong sunyi tersebut. Boleh dikatakan
hampir empat tahun dia menggunakan lorong itu. Tidak pernah dia terserempak
dengan sebarang makhluk ghaib atau aneh.
Selama ini
rakan-rakannya galak menceritakan tentang ada orang yang berjumpa dengan
puntianak, hantu raya, hantu bungkus dan sebagainya. Walaupun pelbagai cerita
seram didengarinya, biarpun beratus nasihat telah diterimanya, namun Ashraf
tetap berdegil untuk melalui lorong sunyi itu.
Sebenarnya Ashraf tidak
mempunyai pilihan. Lorong sunyi itu adalah jalan pintas baginya, sama ada untuk
ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Ashraf bekerja sebagai wartawan di sebuah
syarikat penerbitan majalah. Disebabkan waktu kerjanya yang tidak tentu masa
menyebabkan ada sesekali dia terpaksa pulang lewat malam disebabkan harus
menyiapkan tugasan terlebih dahulu sehinggakan kadang kala menjangkau pukul dua
pagi.
Dahulu laluan sunyi itu memang menjadi laluan ramai pekerja kilang
kerana kawasan itu memang kawasan perindustrian. Tetapi sejak setahun dua
kebelakangan ini, pekerja-pekerja kilang sudah jarang menggunakan lorong
tersebut berikutan tersebarnya cerita hantu puntianak dan makhluk halus yang
menyerupai budak kecil.
Biarpun orang lain tidak berani menggunakan
lorong sunyi itu, tetapi Ashraf tetap melaluinya. Sehinggalah pada suatu malam,
selepas habis bekerja, Ashraf terus pulang ke rumah. Tetapi dalam perjalanan
pulang sebelum sampai lorong sunyi itu, Ashraf singgah terlebih dahulu di warung
mamak bersama dua orang rakannya, Sharil dan Muhaimin. Kerana asyik berborak,
mereka bertiga terlupa hari sudah jauh malam.
Jam di tangan Ashraf sudah
mencecah pukul 12.45 malam. Kebetulan malam itu adalah malam Jumaat. Shahril dan
Muhaimin tidak pulang melalui lorong sunyi itu. Walaupun diajak oleh Ashraf,
Shahril dan Muhaimin tetap enggan melalui lorong tersebut. Tinggallah Ashraf
seorang yang terpaksa melaluinya kerana tidak mempunyai pilihan lain. Kalau dia
ikut jalan raya, sudah terlalu jauh untuk sampai ke rumahnya. Mahu tidak mahu,
Ashraf terpaksa melalui lorong sunyi itu.
Dalam perjalanan pulang, hati
Asharf tiba-tiba berdebar. Matanya menjeling kiri kanan lorong. Tiba di
pertengahan lorong, dia tersentak. Wajah seorang wanita jelas kelihatan di
hadapannya. Ashraf berhenti seketika. Hati dan perasaannya mula menggambarkan
apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakannya. Tetapi Ashraf kuatkan
semangat.
Ketika langkahnya semakin menghampiri wanita itu, hidungnya
tiba-tiba ditampar bau wangi. Tidak pernah dia menghidu bau wangi sedemikian
sepanjang dia melalui lorong tersebut. Tetapi kali ini dia menghidunya. Tidak
mungkin wangian itu turun bersama embun pagi! Ashraf mula tertanya
sendirian.
Segera Ashraf menutup hidungnya. Dia terus berjalan tanpa
mempedulikan wanita di hadapannya. Dia menundukkan kepalanya ke bawah. Langkah
dicepatkan. Semakin dia menghampiri wanita itu, semakin kuat bau wangi itu
menusuk hidungnya.
Kala itu terlintas di fikirannya tentang cerita
rakan-rakannya. Kalau terhidu bau wangi, jangan dihidu kerana bau wangi itu
adalah bau hantu raya! Teringat itu, Ashraf segera menahan nafas seketika untuk
tidak menghidu bau wangi itu.
Degup jantungnya semakin kencang. Hatinya
mula berdebar-debar. Tidak pernah dia mengalami peristiwa sebegini. Ashraf sudah
dapat mengagak, cerita hantu yang diberitahu oleh rakannya itu memang benar.
Kini barulah Ashraf, tahu bahawa cerita ngeri dan menakutkan ini memang
wujud.
Tiba-tiba Ashraf mendongak kepalanya. Entah tidak semena-mena,
anak matanya mencuri jeling ke arah wanita itu. Dalam jelingan itu, Ashraf dapat
melihat seperti ada satu keganjilan pada wajah wanita itu. Wajahnya putih,
bibirnya merah dan rambutnya panjang melepasi bahu.
Seluruh bulu roma
Ashraf berdiri tegak. Langkahnya tiba-tiba terhenti, bagaikan dipegang sesuatu.
Dia cuba melangkah tetapi tidak berdaya. Kakinya terasa begitu berat. Matanya
terus terpandang wanita itu yang mula bertukar wajah. Bermula dengan wajah
senyum, berubah menjadi bengis. Gigi yang tersusun cantik tiba-tiba bertukar
tajam dengan susunan yang menyeramkan.
Rambut wanita itu mula mengerbang,
disusuli hilaian suara menakutkan yang memecah lorong sunyi itu. Dengan wajah
yang menakutkan, wanita itu menghampiri Ashraf. Dia cuba lari, tetapi kakinya
seolah-olah terpijak gam. Serentak itu, dia terus menjerit sekuat hatinya,
kemudian rebah menyembah bumi.
Keesokan paginya, Ashraf ditemui oleh
seorang wanita tua yang kebetulan melalui lorong sunyi itu. Setelah mendapatkan
bantuan, Ashraf akhirnya dihantar pulang dalam keadaan tubuhnya yang lemah.
Melihat wajahnya yang kebiruan, nyata Ashraf sudah tidak bersemangat
lagi.
Ashraf demam selama tiga hari dan menurut ibunya, Azizah, Ashraf sering
kali meracau-racau dalam tidurnya terutamanya pada sekitar jam 1.00 atau 2.00
pagi. Akhirnya, untuk memulihkan kembali semangat Ashraf, ibunya memanggil
seorang pakar perubatan tradisional.
Dengan izin Allah SWT, akhirnya dia
berjaya dipulihkan biarpun terpaksa menunggu masa yang agak lama. Sejak
peristiwa itu, barulah Ashraf sedar dan percaya apa yang telah diceritakan oleh
rakan-rakannya. Kini Ashraf juga sudah tidak lagi menggunakan lorong sunyi yang
berpuaka itu!
sumber;-
koleksimisteriseram.blogspot
0 Response to "Cerita Seram Disebuah Lorong Sunyi"
Post a Comment