Empat wanita dinoda bekas pegawai polis

Sekadar gambar hiasan
Oklahoma City: Seorang bekas polis di sini yang didapati bersalah merogol empat wanita dan melakukan serangan seksual ke atas beberapa yang lain ketika bertugas dipenjarakan selama 263 tahun, semalam.

Hukuman ke atas Daniel Holtzclaw, 29, yang diumumkan Hakim Mahkamah Daerah Timothy Henderson ialah yang maksimum dibenarkan undang-undang di Oklahoma.

Disember lalu, juri mendapati Holtzclaw bersalah terhadap 18 daripada 36 tuduhan serangan seksual, termasuk merogol.

Dalam keterangan mereka semalam, mangsa memberitahu mahkamah, bekas polis itu memusnahkan hidup mereka.

Menurut pendakwa raya, Holtzclaw menjadikan wanita yang berdepan dengan masalah undang-undang mangsanya dan memaksa mereka mengadakan seks dengan harapan keterangan mereka tidak akan diterima di mahkamah.

Peguam Holtzclaw berkata, mereka merancang merayu hukuman berkenaan.
Daniel Holtzclaw
Seorang mangsa, Sherry Ellis, memberitahu mahkamah, dia tidak menyangka seorang anggota polis akan melakukan apa yang dilakukan Holtzclaw.

“Dia terima hukuman yang setimpal. Saya tidak dapat melupakan, walaupun sehari, apa yang dilakukannya terhadap saya,” kata Sherry.

Tiga belas wanita memberi keterangan pada perbicaraan Holtzclaw tahun lalu.

Holtzclaw mencabul mangsanya antara Disember 2013 dan Jun 2014, menyasarkan wanita yang kebanyakannya keturunan Afrika-Amerika yang miskin.

Dia dipecat pada Januari 2015, kira-kira tiga tahun selepas menjadi polis.

0 Response to "Empat wanita dinoda bekas pegawai polis"

Post a Comment