Janda tanggung malu akibat kisah hidup disebar individu tak bertanggungjawab

Gambar hiasan
Kuala Pilah: “Saya terpaksa menanggung malu apabila kisah hidup kami diviralkan pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial. Mana saya nak (hendak) letak muka ini,” kata seorang ibu tunggal Jamilah Salleh, 44, yang kecewa apabila ada pihak mendedahkan kisah hidupnya dalam laman sosial.

Sambil mengakui jalan cerita yang diviralkan dalam Facebook (FB) dan WhatsApp amat berbeza daripada apa dialaminya, Jamilah berkata, dia tidak pernah meraih simpati daripada sesiapapun mengenai kesusahan dialaminya.

“Tiga kali mereka datang melawat ke rumah di Kampung Bukit Temensu. Kedatangan pertama dan kedua hanyalah sekadar lawatan biasa.

“Namun, kedatangan ketiga minggu lalu, mereka membawa beberapa barangan seperti beras, gula, tepung, susu, minyak masak dan wang tunai.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila dimaklumkan kedatangannya ke rumah saya sudah diviralkan. Saya menyangka mereka ikhlas, tetapi sebaliknya, saya sekeluarga terpaksa menanggung malu dengan tindakan mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Jamilah, dia tidak pernah meminta-minta daripada sesiapa kerana masih selesa dengan kehidupan sekarang.

“Kalau ada pihak ingin menyumbang seperti peti sejuk, periuk nasi dan perabot, tak (tidak) payahlah hebahkan kepada umum,” katanya.
NORHAYATI (tiga dari kiri) melakukan lawatan mengejut ke rumah Jamilah (empat dari kanan).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Kebajikan Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, beliau terkejut sebaik membaca laporan itu dalam laman sosial.

“Saya akui mengenali Jamilah kerana pernah menghulurkan bantuan ketika banjir kilat penghujung 2014. Jamilah adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 iaitu jumlah maksimum selain Baitulmal RM200 sebulan.

“Selain itu, dia turut menerima bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suaminya sebanyak RM847 sebulan sejak setahun lalu.

“Dia mempunyai enam anak, lima masih bersekolah dan mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT),” katanya ketika melakukan lawatan mengejut ke rumah Jamilah, semalam.

Menurut Norhayati, anak sulungnya Jamilah berusia 15 tahun menerima biasiswa sebanyak RM70 sebulan serta bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KUAM) sebanyak RM200 setahun.

“Pada hakikatnya, Jamilah bukanlah tergolong keluarga miskin. Dia mampu membeli kereta secara tunai berharga RM7,000 namun pihak berkenaan cuba ‘menangguk di air keruh’.

“Sekiranya benar-benar ikhlas, segala sumbangan sepatutnya disalurkan terus ke Jamilah, tetapi sebaliknya mengapa melalui mereka seperti diviralkan,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108886?m=1#sthash.1TMCFRIt.dpuf

0 Response to "Janda tanggung malu akibat kisah hidup disebar individu tak bertanggungjawab"

Post a Comment