
SUDAHLAH kini bersendirian, tiba-tiba muncul
pula cerita tidak enak daripada mulut bekas suami mengatakan dirinya sudah lupa
diri, tenggelam dibawa arus populariti selepas djadi juara MasterChef Selebriti
musim kedua pada 2012.
Nama pelantun lagu Nazam Berkasih, Syura
Badron, 31, kembali dijaja selepas kes penceraiannya dengan bekas suami, Mohd.
Fadhly Md. Yassin menjadi bualan di laman portal kerana perubahan
sikapnya.
Semuanya gara-gara kemenangan yang diraihnya
itu, Syura dikatakan lupa akan tanggung jawab sebagai isteri yang mendorong
terjadinya perpisahan setelah berumah tangga sejak 29 Mac 2006. Itu pendedahan
yang dibuat sendiri oleh bekas suami, awal minggu lalu kepada media.
Kemasyhuran yang mula dikecapi semula pada 2012
itu sedikit sebanyak membantu meningkatkan semula populariti Syura yang mula
berkecimpung dalam industri sejak 2000 ketika usianya 14 tahun.
Akhirnya, pertengahan 2014, perkahwinan selama
lapan tahun itu runtuh dilanda badai. Bagaimanapun, Syura sekalipun tidak pernah
membuka mulut memberi komen terhadap kegagalan rumah tangganya kerana berdiam
diri itu lebih baik baginya.
Kemudian, mereka dikata rujuk semula sebagai
suami isteri setelah berpisah seketika. Pun begitu, tetap tiada sebarang
persefahaman dicapai yang mendorong kepada perceraian buat kali kedua pada
September 2014.
Baru-baru ini, berkesempatan berbual panjang
dengan Syura, dia menggunakan peluang tersebut untuk meluahkan segala-gala yang
terbuku di hatinya kepada Hits, dengan harapan dapat memberi gambaran terhadap
liku yang terpaksa dilaluinya, sekali gus menepis konotasi negatif yang
dilemparkan kepadanya.
Pada masa yang sama, demi membela nasib
anak-anaknya iaitu Nurul Dania Irdani, 9; Nurul Qaisara Sofea, 7 dan Muhammad
Irfan Aryan, 5, daripada menerima impak negatif disebabkan ketidak-sahihan
khabar yang disebarkan.
HITS: Syura dikatakan lupa diri selepas jadi
juara, sebenarnya apa yang berlaku ni?
Syura: Sudah agak lama sebenarnya kami hidup
berasingan, tetapi disebabkan masih berstatus suami dan isteri, saya diamkan
sahaja tanpa memberi sebarang komen walaupun ramai telah menyedari perpisahan
kami. Puncanya biar kami sahajalah yang mengetahuinya, tidak perlulah dihebahkan
untuk pengetahuan umum kerana banyak aib wajib dijaga.
Macam mana pula dakwaan bekas suami mengatakan
perangai Syura berubah selepas memenangi MasterChef Selebriti?
Itulah, saya nak ‘berterima kasih’
sangat-sangat kepada bekas suami kerana mula membuka aib rumah tangga sendiri.
Saya diam bukan untuk mengiyakan atau menafikan tetapi tidak mahu memalukan
mana-mana pihak. Apatah lagi keluarga bekas suami adalah saudara saya sendiri
kerana Fadhly merupakan sepupu rapat. Kalau saya mula bercerita, bukan sahaja
dia, tetapi seluruh keluarga kami akan terasa kesannya. Biarlah saya pendam
sahaja demi menjaga kebaikan semua.
Syura masih tidak menjawab benar atau tidak
dakwaan Fadhly itu. Kenapa?
Hakikatnya, hanya bekas suami sendiri yang
boleh menjawab atau beri penjelasan terhadap tuduhan itu. Saya masih sama
seperti dahulu dan orang yang rapat dengan saya mengetahuinya. Kalau saya
menjawab tuduhan itu sama ada ya atau tidak, rasanya tak mampu untuk merubah
apa-apa keadaan sekalipun. Pendek cerita, ia adalah tentang persefahaman yang
tidak lagi boleh seiringan. Penyelesaiannya adalah menerusi perceraian.
Apakah Syura langsung tidak ada keinginan untuk
kembali semula kepada dia?
Bukan sekali, tetapi dua kali berlakunya
perpisahan antara kami. Jelas di situ memang sukar untuk kami kembali bersama.
Saya pun sudah terbiasa dengan keadaan seperti sekarang ini dan semakin selesa.
Lagipun, hubungan kami masih baik demi anak-anak. Saya tidak mahu menafikan
haknya sebagai bapa kepada ketiga-tiga anak kami yang memerlukan kasih sayang
seorang bapa.
Jadi sekarang anak-anak bersama siapa?
Anak-anak semakin memahami situasi yang berlaku
antara saya dan bekas suami terutamanya Dania dan Qaisara kerana mereka sudah
besar. Kecuali Irfan yang masih lagi kecil untuk mengerti semua ini. Mereka
tinggal bersama saya dan bekas suami bebas bertemu dengan mereka bila-bila masa.
Saya tidak pernah berkira untuk menghadkan sebarang tempoh waktu. Kadang-kala,
kalau saya bekerja di luar kawasan, memang Fadhly yang menjaga mereka.
Apa pula cabaran sebagai ibu tunggal? Awak
masih muda pula tu, tidakkah ia sukar?
Alhamdulillah, bab mencari rezeki untuk
menampung perbelanjaan kami anak-beranak dipermudahkan oleh-Nya. Undangan buat
kerja itu sentiasa ada, tidak pernah putus dan mencukupi buat kami. Bersyukur
kerana platform diberikan Astro itu ada impaknya. Jadi, nak cerita pasal sukar
atau tidak itu, sebenarnya sejak remaja lagi sudah terbiasa berdikari. Tiada
masalah bagi saya untuk meneruskan kehidupan seperti ini.
0 Response to "Lebih Baik Saya Diam - Syura"
Post a Comment