SAYA dan isteri berusia 27
tahun dan kami berkahwin hampir dua tahun. Sehingga kini isteri belum hamil.
Hasil pemeriksaan menunjukkan saya menghadapi masalah kurang sperma dan tiada
sperma aktif.
Jumlah sperma yang diukur
cuma 13 juta/ml, malah tiada jumlah sperma aktif dan 25 peratus sperma bergerak
perlahan. Bolehkah masalah saya diubati kerana kami mahu cahaya mata dan latar
belakang keluarga tiada masalah.
Saya pernah kemalangan
pada 2007 yang mengakibatkan tulang belakang terakhir di bahagian punggung
mengalami keretakan. Saya juga kuat merokok sekitar 20 batang sehari. Kerja
seharian saya banyak dihabiskan di dalam kereta dan pejabat dan saya juga selalu
tidur sekitar jam 12 tengah malam kerana melakukan kerja pejabat di rumah.
Disebabkan kekangan kerja, saya juga jarang bersenam. Hampir dua atau tiga bulan
sekali baru saya bersenam. Hubungan kelamin juga biasanya bertahan 15 minit saja
kerana alat sulit saya tidak dapat bertahan lama sebelum ejakulasi.
– Mr. R,
Selangor.
JAWAPAN:
Kesukaran untuk hamil
tidak semestinya disebabkan oleh wanita sahaja tetapi juga lelaki. Hampir 30
hingga 40 peratus infertiliti atau kemandulan disebabkan oleh faktor lelaki.
Walaupun lelaki dapat terus menjadi ‘produktif’ pada usia yang lebih lanjut
tetapi ianya tidak bermakna mereka lebih subur. Ramai lelaki mengalami masalah
disfungsi seksual seperti ejakulasi pramatang, kegagalan ereksi dan
sebagainya.
Terdapat juga lelaki yang
mempunyai kualiti dan kuantiti sperma yang rendah akibat faktor genetik,
merokok, meminum minuman keras dan mengamalkan gaya hidup yang tidak
sihat.
Jangkitan pada kelenjar
testis dan saluran yang membawa sperma juga boleh menyebabkan infertiliti.
Seperti juga wanita, lelaki juga boleh mengalami infertiliti jika menerima
ubat-ubat kemoterapi ataupun radioterapi.
Anda menjalani ujian air
mani dan mendapati kuantiti sperma dan kualiti sperma merosot Kemungkinan juga
peratusan sperma anda tidak berbentuk normal.
Mungkin doktor memeriksa
buah zakar anda untuk meneliti jika isi padu kedua-duanya normal dan pembuluh
darah zakar normal tanpa perubahan berpintal atau varikosel. Anda mungkin tahu
kedudukan buah zakar dalam kerandut dan di luar badan.
Jika anda memakai seluar
dalam ketat atau tebal, suhu dalam kerandut zakar menjadi tinggi dan ini
menjejaskan proses pembiakan sperma dalam kilang sperma. Sama juga jika berat
badan tinggi dan anda banyak melakukan kerja dalam keadaan duduk kerana itu
membuatkan buah zakar terperap dalam ‘lemak’ seolah-olah macam dalam ‘ketuhar’
yang secara langsung meningkatkan suhu kerandut buah zakar dan menjejaskan
proses spermatogenesis (proses pengilangan sperma).
Amalan merokok boleh
menjadi sebab utama sperma bermasalah. Merokok membuatkan anda menghidu bahan
toksik yang merosakkan sistem reproduksi dan kesuburan tanpa anda sedari.
Merokok mengancam kesuburan lelaki secara meluas dan menyebabkan kualiti dan
kuantiti sperma merosot.
Mengikut kajian pakar
infertiliti, merokok merosakkan sperma secara terus apabila air mani tercemar
dengan bahan toksik yang menyebabkan kerosakan kepada protein dan nutrien dalam
air mani. Proses kerosakan sperma meningkat ketara apabila amalan merokok
berpanjangan.
Lagi lama anda merokok,
lagi bermasalah kualiti sperma anda. Merokok mengurangkan bilangan atau kuantiti
sperma. Ini kerana bahan kimia mencegah penyerapan vitamin dan mineral dalam air
mani seperti kekurangan vitamin B12, vitamin E dan zat galian.
Merokok merendahkan tahap
hormon kesuburan diperlukan untuk pembiakan sperma dalam kilang. Kadar peratusan
bilangan sperma boleh merosot daripada beratus-ratus juta kepada satu angka
dalam keadaan serius. Saya harap agar maklumat ini dapat membuka minda dan
mendorong anda untuk berhenti merokok.
Merokok juga mengganggu
pergerakan sperma. Pergerakan sperma ialah keupayaan bergerak secara ke depan
memasuki pangkal rahim (serviks) dan salur Fallopio untuk berjumpa dengan ovum
(telur) bagi proses persenyawaan.
Sperma perlu bergerak laju
dan sehala supaya dapat bergerak dalam kelajuan baik supaya mudah sampai ke
destinasi. Ini terhalang akibat merokok. Bilangan sperma yang sampai tidak cukup
untuk berinteraksi dengan ovum (telur) bagi memudahkan penetrasi satu sperma ke
dalam telur semasa proses persenyawaan.
Merokok juga menyebabkan
penghasilan sperma berbentuk tidak normal akibat tindak balas bahan radikal
bebas daripada bahan kimia rokok. Sperma yang tidak berbentuk normal tidak dapat
bergerak dan mensenyawakan ovum.
Saya nasihatkan agar encik
berhenti merokok demi isteri yang tercinta dan juga demi zuriat yang diimpikan.
Kurangkan juga stres dan ambil masa untuk berehat dan bercuti bersama
isteri.
Gunakan juga masa yang ada
untuk sama-sama bersenam dengan isteri. Cuba amalkan nasihat-nasihat ini kerana
terbukti dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti sperma. Selepas itu elok
berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan, nasihat dan rawatan yang
lebih lanjut.
0 Response to "MEROKOK PUNCA KUALITI SPERMA MEROSOT & SUKAR DAPAT ZURIAT"
Post a Comment