
Kulim: Seorang lelaki warga India bukan saja
memasuki negara ini tanpa pas atau permit sah, malah turut mengambil kesempatan
menjalankan kegiatan menghasilkan samsu haram.
Bagaimanapun, kelicikan lelaki berusia 50 tahun
itu terbongkar apabila dia ditahan Jabatan Imigresen Kedah yang membuat serbuan
di rumah tidak bernombor di Paya Besar, di sini, kelmarin.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Othman Hamzah
berkata, dalam operasi bermula kira-kira jam 12 tengah hari diketuai Timbalan
Penolong Pengarah Imigresen Phon Ai Liap bersama 13 anggota Imigresen menyerbu
empat lokasi berbeza membabitkan 13 warga asing pelbagai negara diperiksa.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya
mengesan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada lapan
lelaki dan seorang wanita pelbagai negara berusia 26 hingga 50 tahun didapati
melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Enam lelaki warga Bangladesh ditahan dalam
serbuan di sebuah premis menjual pakaian diikuti penahanan seorang lelaki warga
India di sebuah rumah dalam kebun kelapa.
“Pihak imigresen juga mencekup seorang lelaki
warga Sri Lanka di sebuah kedai gunting rambut di Jalan Kilang Lama dan
tangkapan seorang wanita warga Thailand di sebuah pusat urut Taman Bukit
Kulim.
“Ketika serbuan dijalankan di rumah yang
didiami lelaki warga India itu, kami mendapati suspek cuba mengaburi orang ramai
dengan berselindung di sebalik kedai makan bagi menjalankan kegiatan
menghasilkan samsu haram,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tujuh PATI
tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan dua lagi masing-masing melakukan
kesalahan tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas diberikan.
“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c)
dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b)
Peraturan-peraturan Imigresen 1963 lalu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen
Belantik, Sik, untuk siasatan lanjut,” katanya.
0 Response to "Masuk Haram, Samsu Haram"
Post a Comment