England menang, Sepanyol tewas - Kelayakan Euro 2016


rooney euro england san marino
Wayne Rooney mengambil sepakan penalti
LONDON: England membelasah San Marino 5-0 pada perlawanan kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2016 manakala pesaing Kumpulan E, Switzerland terus ditimpa kekalahan, awal pagi tadi.

Wayne Rooney menjaringkan gol ke-42 menerusi sepakan penalti hanya tujuh lagi memisahkannya dengan rekod sepanjang zaman milik Bobby Charlton, tetapi kapten England itu mensia-siakan beberapa peluang keemasan untuk merapatkan jurang berkenaan.

San Marino yang kini berkongsi tempat tercorot dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersama Bhutan, hanya berupaya bertahan sehingga minit ke-24 apabila tandukan Phil Jagielka menemui sasaran pada babak pertama pada ketika tuan rumah seperti kehilangan rentak.

Selepas rembatan Rooney sebelum tamat babak pertama, diikuti Danny Welbeck dan Andros Townsend masing-masing menyumbang gol dan diikuti gol sendiri Alessandro Della Valle, ia sudah memadai untuk skuad England.

England kini menduduki tangga teratas Kumpulan E hasil kemenangan berturut-turut dengan Lithuania di kumpulan sama menundukkan Estonia 1-0 hasil jaringan saat akhir Saulius Mikoliunas.

Bagaimanapun, Switzerland yang beraksi cemerlang pada Piala Dunia di Brazil masih kempunan tanpa sebarang mata selepas kalah di tangan England, kali ini pula tewas kepada Slovenia 1-0.

Milivoje Novakovic menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80 selepas pertahanan Switzerland, Johan Djourou menjatuhkan Kevin Kampl.

Selain itu, Slovakia mengejutkan Sepanyol 2-1 pada kelayakan Euro 2016 selepas cemerlang dengan 14 kemenangan berturut-turut.

slovakia spain euro
Pemain Slovakia meraikan jaringan pasukan mereka 
Kekalahan itu adalah yang pertama bagi Sepanyol dalam kelayakan kejohanan berkenaan dan Piala Dunia sejak 2006.

Kesilapan penjaga gawang Sepanyol, Iker Casillas pada minit ke-17 membawa padah apabila dia gagal menumbuk keluar sepakan percuma Juraj Kucka.

Paco Alcacer menyamakan kedudukan untuk Sepanyol pada minit ke-82 tetapi pemain gantian, Miroslav Stoch menyambut hantaran Casillas pada minit ke-87, sekali gus membuatkan pelawat tergamam untuk mencari gol kemenangan.

Slovakia kini menduduki tangga teratas Kumpulan C.

Sementara itu, Besart Abdurahimi menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk membantu Macedonia mencatat kemenangan 3-2 ke atas Luxembourg, manakala Ukraine menang 2-0 ke atas Belarus. 


via : sukanstartv

Related Posts :

0 Response to "England menang, Sepanyol tewas - Kelayakan Euro 2016"

Post a Comment