Kenyataan Hina Allahyarham Nik Aziz, Ibrahim Ali Dikecam Orang Ramai


Kuala Lumpur – Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali hari ini menerima cemuhan dan dikecam orang ramai terutama masyarakat Islam selepas mengeluarkan satu kenyataan yang disifatkan tidak sensitif apabila mengulas mengenai kembalinya bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat ke rahmatullah semalam.


Ibrahim, dianggap biadap dan didakwa cuba mempolitikkan kematian Nik Aziz apabila mengeluarkan kenyataan Allahyarham gagal melaksanakan hukum Hudud selain tidak banyak membangunkan negeri Kelantan selama lebih 20 tahun menjawat jawatan Menteri Besar.


Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu membuat kenyataan berkenaan menerusi laman Facebooknya.


Tidak cukup dengan itu, Ibrahim juga dalam kenyataan yang sama, turut menyifatkan kematian Nik Aziz adalah sesuatu yang tidak mengejutkan.


“Kalau ikut pada usianya, maka pemergiannya tidaklah mengejutkan dan sebelum ini sudah lama tidak sihat, umurnya juga panjang.


“Rakyat Kelantan ramai menyanjungnya kerana beliau dikatakan ulamak dan digelar Tok Guru, walaupun beliau tidak banyak membangun kemajuan rakyat dan negeri kelantan.


“Malah kemajuan Islam di Kelantan tidak ke mana dan hukum hudud gagal dilaksanakan semasa hayatnya walaupun menjadi MB Kelantan lebih 20 tahun,” tulis Ibrahim dalam status Facebooknya.


Kenyataan itu mengundang reaksi kurang senang pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan Ibrahim tidak wajar selain tidak kena pada masanya.


“Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan. Semoga Datuk diberi hidayah,” komen seorang pengguna Facebook, Lisa Khalik.


“Kami orang Islam dahagakan pembangunan dan kemajuan dari segi akhlak yang membawa ke arah kesenangan di akhirat, bukan duniawi semata-mata,” ulas seorang lagi pengguna, Naim Shahari.


Kenyataan Ibrahim atau dikenali juga dengan nama Tok Him itu kini mula menjadi viral di laman sosial termasuk Twitter, bukan kerana menarik atau bernasnya kenyataan itu, tetapi kerana ramai yang mahu turut mengecamnya.
Ibrahim bagaimanapun didapati telah memadam kenyataan asal itu di laman Facebooknya dan digantikan dengan satu ucapan takziah yang ringkas berserta foto ungkapan doa. – Rakyat Post

0 Response to "Kenyataan Hina Allahyarham Nik Aziz, Ibrahim Ali Dikecam Orang Ramai"

Post a Comment