Wardina Tegur TV3 Tak Sensitif, Tayang Mentor Legend Semasa Nik Aziz Dikebumi


Kuala Lumpur – Pelakon dan pengacara muslimah terkenal, Wardina Safiyyah menegur stesen TV3 yang dikatakan tidak sensitif dengan kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Ketika saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani gigih melaporkan laporan langsung mengenai pengkebumian bekas Menteri Besar Kelantan itu, TV3 memilih untuk menyiarkan rancangan hiburan terbitannya, Mentor Legend.


“Sewaktu hayatnya tidak pernah diundang untuk bual bicara bagi memahami jiwa dan pemikirannya…malah kadang kala difitnah dinista…sewaktu perginya tunjukkanlah “sedikit” hiba. Bukan calang-calang manusia,” ujar Wardina melalui laman Facebooknya.


Beliau juga bertindak berkongsi surat terbuka kepada TV3 oleh pelayar internet berjudul’ Teguran untuk TV3 berkabunglah hormat perasaan rakyat Malaysia’.


Surat terbuka itu kini menjadi viral di media sosial.


Banyak yang mengkritik tindakan tidak sensitif TV3 itu dan rata-rata mereka berpandangan jika berdepan dengan masalah sekalipun ketika mahu membuat liputan secara langsung, stesen tv itu boleh menyajikan bacaan ayat suci al-Quran, bukannya program hiburan.


Rata-rata pelayar internet menyatakan rasa terkilan mereka dengan stesen tv swasta itu.

0 Response to "Wardina Tegur TV3 Tak Sensitif, Tayang Mentor Legend Semasa Nik Aziz Dikebumi"

Post a Comment