Aliya bersama dengan keluarganya |
Pengalaman Dan Coretan Aliya (Mualaf)
"Babi
sedapkah?"
"Apa
rasanya?"
Apabila saya
menceritakan kepada suami cara memasak 'Tao-Yu Bak' (Daging Babi masak kicap),
resipi yang diwarisi daripada nenek saya, wajahnya akan berubah, geli gelaman
dan loya. Biasalah orang Melayu, dibesarkan dari kecil untuk membenci babi. Tapi
bagi saya yang hidup makan daging babi selama lebih 3 dekad, ia bukanlah sesuatu
yang luar biasa. Sudah tahu tekstur daging itu, dan sudah boleh bezakannya
daripada daging ayam serta lembu.
Setiap kali
juga, apabila ditujukan soalan tentang pemakanan daging ini oleh mereka yang
baru memeluk Islam kepada mereka yang lahir Islam, kebiasaannya akan disuruh
elak. Haram makan makanan tidak halal. Dosa besar.
Tapi
bagaimana nak elak makan sekiranya mualaf itu masih tinggal dan bergantung
kepada keluarganya yang bukan Islam, serta sudah menjadi kebiasaan makan
bersama?Nak makan daging? Daging bagi keluarga Cina dan Hindu adalah daging
babi, bukan daging lembu. Mana boleh makan, haram. Nak makan ayam yang tidak
disembelih cara Islam, haram juga.
Habis nak
makan apa? Ikan? Tapi.. kata ustaz kalau makanan dimasak dalam periuk atau kuali
yang tidak disamak tetap haram hukumnya. Tidak boleh dimakan.
Tao-Yu
Bak
Habis, nak makan apa?
Ahhh, dilema
yang dihadapi ramai mualaf yang masih belum mengkhabarkan pengislaman mereka
kepada keluarga masing-masing.
Mengapa
belum?
Kerana
kebanyakan mereka golongan pelajar sekolah dan kolej, mahasiswa, atau yang tidak
ada pendapatan tetap atau kediaman lain. Mereka yang bergantung kepada keluarga
untuk sara hidup, pendidikan dan tempat perlindungan.
Bila mereka
nak beritahu keluarga bahawa mereka dah Islam?
Entah,
mereka masih mencari jalan. Masih berikhtiar untuk menyampaikan berita tersebut
dengan lembut. Kerana tahu bahawa kelaurga tidak akan merestui pengislaman
mereka.
Perlu
mengambil masa, agar tidak terputus hubungan kekeluargaan. Agar ibu bapa yang
sudah tua dan uzur tidak diserang sakit tenat akibat terkejut dan sakit hati
dengan berita tergempar itu.
Tapi
bagaimana mereka nak hidup sebagai orang Islam kalau belum beritahu keluarga?
Kalau sudah peluk Islam, kenalah beritahu. Haram makan makanan tidak halal.
Wajib mengerjakan solat. Kena puasa pada bulan Ramadhan. Yang wanita, perlu jaga
aurat. Apa status mereka?
Itulah
masalahnya. Anda dilahirkan sebagai sebagai orang Islam, anda tak alami sendiri
masalah mereka yang baru memeluk Islam. Mereka yang kita gelar 'closet Muslim'
atau 'mualaf sembunyi' kerana belum mengisytiharkan pengislaman mereka. Ramai
yang muda belia. Mereka berani kerana memeluk Islam setelah belajar Islam dan
benar-benar yakin bahawa Islam agama benar, dan walaupun mereka mungkin
menghadapi amcaman dihalau oleh keluarga masing-masing dan ditamatkan pembiayaan
pengajian kolej atau universiti sekiranya keluarga mereka
mengetahuinya.
Mereka ini
semakin ramai tetapi kerana ada yang belum mendaftarkan diri sebagai orang Islam
di jabatan agama Islam, kita tiada data. Tak dapat dikesan kecuali mereka
sendiri memberitahu.
Makanan?
Terpaksalah mereka pandai-pandai pilih makanan yang halal. Berusaha mengelak
daripada makan daging babi bila bersama keluarga. Kita boleh dengan mudahnya
berkata bahawa berdosa makan makanan yang tidak halal tetapi ingatlah bahawa
mereka yang baru berstatus mualaf "sembunyi" tidak ada banyak pilihan, terutama
bagi mereka yang keluarganya kuat beragama atau berpegang pada adat resam.
Mengaku orang Islam bermakna bakal dihalau dari rumah, terputus hubungan
kekeluargaan untuk sementara waktu, dan akan mengakibatkan keluarga sendiri
dipulaukan dan dikecam hebat oleh jiran dan saudara mara yang juga bukan
Islam.
Solat? Yang
sudah belajar akan cuba lakukan secara sembunyi-sembunyi. Satu risiko. Yang
muslimah, mungkin terpaksa solat dengan skaf panjang dan kain batik menggantikan
telekong kerana kain telekong bukti nyata bahawa mereka sudah Islam. Yang belum
pandai solat dan berisiko tinggi, hanya mampu berzikir dan
berselawat.
Puasa? Sama
juga, yang dapat berpuasa akan berusaha untuk puasa. Yang sudah menjadi
kelaziman makan tengah hari dengan keluarga, tahu-tahu sahaja. Sudah tentu
mereka sedih kerana tidak mampu berpuasa seperti muslim yang lain. InsyaAllah,
mereka akan bayar fidyah apabila berjaya hidup bebas nanti.
Sampai bila
nak diamkan diri? Hidup dalam kepuraan? Mereka kena beritahu
keluarga!
Sampai
mereka bersedia untuk memberitahu. Atau sehingga Allah swt tentukan sendiri
bahawa masanya sudah tiba untuk keluarga mengetahuinya. Kalau anda anggap hidup
dengan membohongi keluarga tersayang sebagai satu kesalahan dan satu dosa yang
tidak patut dilakukan oleh Muslim, bayangkan pula tekanan batin mereka yang
melaluinya.
Kena pilih
antara cara hidup Islam dan keluarga yang masih kafir. Menghitung hari sehingga
mereka dapat berdikari dan bebas hidup sebagai orang Islam.
Saya pernah
tujukan permasalahan ini kepada beberapa orang kawan dan ustaz yang saya kenali,
yang lahir Islam. Jawapan mereka adalah perlu beritahu keluarga. Tak ada jalan
lain.
Jawapan saya
kepada mereka yang bertanya (pendapat saya), berusahalah hidup sebagai orang
Islam setakat mana yang termampu. Sentiasa berdoa dan memohon ampun daripada
Allah. Elakkan makanan yang tidak halal atau sekurang-kurangnya kurangkan
pengambilan. Dapatkan sokongan moral dan nasihat mereka yang memahami agar diri
tidak terlalu tekanan dengan kehidupan dua identiti ini. Sambil-sambil itu,
berikhtiar juga agar dapat memberitahu keluarga tentang pengislaman
masing-masing dengan cara terbaik.
Kita yang
sudah Islam selalu beranggapan bahawa tugas membantu golongan mualaf dan mereka
yang berminat pada Islam adalah tugas dan tanggungjawab NGO dan agensi Islam.
Tanggapan itu perlu dikikis kerana kerap kali, (maafkan saya) pertubuhan
begitulah yang sering merosakkan nama baik Islam. Ada segolongan pegawai yang
cepat membuat andaian (peluk Islam mesti nak kawin, mudah menghukum halal-haram,
tak boleh itu dan ini, kena buat begini kalau tidak tak sah solat bla3), cakap
tak serupa bikin (mewakili nama Islam tetapi bercakap kasar, acuh tak acuh dan
tidak sabar).
Mualaf
'sembunyi' lebih memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan (bagi yang masih
menuntut) supaya mereka lebih bersedia dan berani mengisytiharkan pengislaman
mereka dengan lebih awal. Mereka tidak perlukan tekanan lagi dengan kita
memberitahu bahawa tindakan mereka terus makan babi bersama keluarga dan
meninggalkan amalan lain adalah berdosa.
Kita sering
menganggap permasalahan mereka sebagai perkara lekeh dan kecil, yang
dibesar-besarkan. Selalu kita tegaskan, kalau dah Islam kenalah buat cara
Islam. Tak alami maka tak ketahui, seterusnya tak fahami, tak dapat
berempati.
Ia sama
seperti seorang yang tidak pernah dibedah, tentu sekali tidak akan tahu
bagaimana sakit anggota badan setelah ubat bius habis, betapa susahnya menjaga
luka agar tidak dijangkiti kuman. Hanya boleh membuat teori dan andaian. Mudah
menyalahkan pihak lain dengan tuduhan sengaja mengada-ngada.
Janganlah
kita golongan seperti itu. Letakkan diri kita di tempat mualaf
'sembunyi'.Sekurang-kurang yang boleh kita lakukan adalah mendoakan mereka agar
Allah perkuatkan iman mereka.
Sekurang-kurangnya
mereka ini walaupun belum dapat mengisytiharkan diri sebagai orang Islam, mereka
sudah beriman pada Allah swt. Mereka berusaha untuk mendalami Islam, makan
makanan halal, mendirikan solat dan puasa. Tidak seperti golongan tertentu yang
beridentitikan Muslim tetapi dengan rela dan sukacitanya menghirup arak, makan
daging babi, meninggalkan solat dan berpesta makan pada siang
Ramadhan.
Nabi s.a.w
mengambil masa bertahun tahun lamanya uantuk membina keimanan dan akidah.
Sedangkan pada waktu itu para sahabat masih lagi meminum minuman yang
mengharamkan dan memakan makanan yang mengharamkan. Contohnya ada sahabat yang
bersolat dalam keadaan mabuk tetapi Nabi s.a.w. tidak menegur sehingga Allah
s.w.t. menurunkan ayat mengharamkannya.
Ramai
penda'ii mengislamkan yang bukan Islam terus mengharap si Mualaf fi Qulub itu
meninggalkan segala yang diharamkan dan terus pandai bersolat. Mereka ingin
si-mualaf terus menjadi seperti orang orang Melayu disekeliling mereka.
Masyarakat berterusan memberikan tekanan emosi dan mental keatas mualaf dan
saudara baru. Masyarakat menjadikan saudara baru itu Melayu lebih dari Islam
dari segi berpakaian, pemakanan, percakapan, tingkah laku dan
sebagainya.
Sumber:Scania
Z
Sumber
0 Response to "KISAH AKU (MUALAF) DAN DAGING BABI"
Post a Comment